PENGAUDITAN JPV adalah kepada aspek kawalan penyakit haiwan, kebersihan dan phytosanitasi manakala pengauditan Jakim adalah khusus kepada aspek halal.
PENGAUDITAN JPV adalah kepada aspek kawalan penyakit haiwan, kebersihan dan phytosanitasi manakala pengauditan Jakim adalah khusus kepada aspek halal.
KAFE AHAD

Baru-baru ini, masyarakat Islam di Malaysia dikejutkan dengan penggantungan kelulusan loji sembelihan di Australia berikutan keraguan dalam prosedur sembelihan di pusat berkenaan.

Bagi mendapatkan gambaran jelas, Kafe Ahad menemubual Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) DATUK HAKIMAH MOHD YUSOFF bersama wartawan YUSMIZAL DOLAH ALING dan MUHAMMAD SAUFI HASSAN.

Berapa banyak pusat sembelihan luar negara yang ditauliahkan oleh Jakim?

Jakim tidak pernah memberi tauliah atau meluluskan mana-mana pusat sembelihan luar negara.

Agensi yang bertanggungjawab meluluskan rumah sembelihan luar negara adalah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Mohon perincikan proses kelulusan operasi pusat sembelihan luar negara?

Rumah sembelihan luar negara yang berhasrat untuk mengeksport daging ke Malaysia hendaklah membuat permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dengan mengisi borang permohonan di laman sesawang www.dvs.gov.my.

Sebagai agensi yang bertanggungjawab mengenai pengeksportan haiwan ke Malaysia, JPV akan mengatur dan menjadualkan pengauditan lapangan dengan menjemput Jakim untuk melakukan pengauditan secara bersama.

Fokus pengauditan JPV adalah kepada aspek kawalan penyakit haiwan, kebersihan dan phytosanitasi manakala pengauditan Jakim adalah khusus kepada aspek halal.

JPV mengaturkan jadual audit dan perkara berkaitan dengan audit ke luar negara dengan kerjasama agensi berkuasa mengenai haiwan di negara pengeksport.

Selepas selesai sesuatu pengauditan, para auditor daripada JPV dan Jakim akan menyediakan laporan pengauditan.

Auditor Syariah Jakim akan menyediakan laporan berdasarkan aspek keperluan dan standard halal Malaysia.

Seterusnya, dapatan audit dan syor auditor Syariah akan dibentangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengesahan Pengiktirafan Halal Luar Negara Jakim yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jakim untuk penentuan kelulusan daripada aspek halal.

Manakala auditor JPV akan membentangkan laporan audit mereka di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengiktirafan Abatoir/Loji Pemprosesan Luar Negara yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JPV.

Hanya rumah sembelihan yang sudah mendapat kelulusan daripada JPV dan Jakim sahaja yang akan dimasukkan ke dalam senarai rumah sembelihan/loji pemprosesan yang diiktiraf untuk mengeksport produk ke Malaysia dan akan dipaparkan di dalam laman sesawang www.dvs.gov.my

Daripada segi pemantauan untuk memastikan pusat sembelihan sentiasa patuh pada syarat ditetapkan Jakim, bagaimana ia dilakukan?

Daripada aspek halal, bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan sistem halal di rumah sembelihan atau loji pemprosesan luar negara, Jakim mengiktiraf 84 buah badan pensijilan halal luar negara daripada 46 buah negara di seluruh dunia sebagai badan atau organisasi yang bertanggungjawab untuk menyelia dan mengawal pelaksanaan sistem halal di rumah sembelihan yang diluluskan mengeksport daging ke Malaysia.

Disamping itu, rumah sembelihan atau loji pemprosesan yang diluluskan mengeksport produk mereka ke Malaysia dikehendaki melaksanakan sistem halal sepenuhnya (dedicated halal plant) berdasarkan keperluan di dalam Malaysian Protocol for the Halal Meat and Poultry Production dan MS Halal Food – Production, Preparation, Handling and Storage - General Guidelines (MS 1500:2009).

Apa yang menyebabkan sesebuah pusat sembelihan luar negara digantung operasi oleh Jakim?

Kelulusan pengeksportan daging ke Malaysia dibuat berdasarkan syarat dan peraturan yang sudah ditetapkan oleh JPV bagi keperluan pematuhan sanitary dan phytosanitary.

Manakala bagi keperluan pematuhan halal, ia berdasarkan standard dan protokol Halal Malaysia yang ditetapkan.

Kegagalan loji mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan boleh menyebabkan loji berkenaan digantung kelulusan pengksportannya oleh pihak berkuasa berkenaan di Malaysia iaitu JPV.

Penggantungan yang dibuat bukanlah penggantungan operasi kerana kita tiada kuasa untuk menggantung pengoperasian sesebuah loji di negara lain.

Jakim juga tidak pernah malahan tidak boleh menghentikan kelulusan operasi pusat sembelihan luar negara kerana perkara itu di bawah bidang kuasa agensi lain iaitu JPV.

Jakim akan memberi pandangan dan cadangan kepada JPV sekiranya didapati sesebuah pusat sembelihan luar negara itu didapati melanggar standard dan keperluan halal.

Keputusan berdasarkan persetujuan bersama antara JPV, Jakim dan pihak berkuasa haiwan di negara pengeksport akan dibuat sekiranya didapati memang ada keperluan untuk menggantung kelulusan eksport yang diberikan.

Status halal cukup sensitif dalam kalangan masyarakat Islam Malaysia. Ramai yang melihat Jakim sebagai gagal dalam melindungi kepentingan masyarakat Islam dalam isu pusat sembelihan luar negara ini. Bagaimana Jakim melihat perkara ini?

Sememangnya isu halal adalah satu isu yang sangat sensitif dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia.

Atas kesedaran itulah kerajaan Malaysia memberikan tanggungjawab menjaga isu halal kepada Jakim di peringkat Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (Jain) bagi peringkat negeri.

Bagi menjamin ketelusan dan integriti halal Malaysia, Jakim bekerja berdasarkan manual prosedur kerja dan standard operasi kerja yang seragam.

Pengesahan dan kelulusan halal yang diberi adalah menggunakan standard halal yang terperinci dan menepati kehendak syarak.

Pengesahan dan pensijilan halal dikeluarkan adalah mengikut piawaian ditetapkan dan melalui tapisan dan semakan ketat di setiap peringkat.

Ada banyak peringkat dan tapisan yang perlu dilalui sebelum sesuatu kelulusan atau pengesahan halal diberikan. Jakim mengamalkan pengasingan (impartiality) dalam menjalankan tugasan demi menjaga integriti halal dan ketelusan.

Isu-isu yang digembar-gemburkan oleh pihak-pihak luar atau mempunyai kepentingan tersendiri menyebabkan masyarakat menjadi keliru dan meragui Jakim sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah Jakim gagal menjaga kepentingan masyarakat Islam.

Berhubung isu rumah sembelihan luar negara, JPV dan Jakim dengan kerjasama badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf sentiasa memastikan rumah sembelihan luar negara yang mendapat kelulusan mengeksport daging mereka ke Malaysia adalah mematuhi keperluan halal seperti yang sudah ditetapkan.

Rumah sembelihan tersebut turut dipantau pihak berkuasa di negara mereka sendiri dan mereka terikat dan wajib mematuhi keperluan sebagai pengeksport yang ditetapkan pihak berkuasa negara mereka.

Pihak industri di peringkat antarabangsa yang mengeksport produk mereka ke Malaysia memahami keperluan dan standard halal Malaysia yang ketat, dan mereka menyedari bahawa keupayaan mereka mematuhi keperluan dan standard halal Malaysia sebagai satu penanda aras tinggi bahawa produk mereka boleh diterima sebagai halal di peringkat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 8:01 AM