Kanak-kanak Orang Asli dibawa ke hospital dengan penerbangan
Kanak-kanak Orang Asli dibawa ke hospital dengan penerbangan
Ramli Ibrahim


DUA kanak-kanak Orang Asli yang mengalami sesak nafas dan demam dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM), dengan penerbangan ihsan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Kanak-kanak itu, Kamarul Mirza Juni, 2 dan Fezly Liyon, 7, dari Pos Balar, Gua Musang yang demam sejak tiga hari lalu terpaksa dibawa ke hospital dengan helikopter selepas gagal dihantar melalui jalan darat.

Ibu kepada Kamarul Mirza, Siti Nor Adik, 34, berkata, jalan Pos Balar ke bandar Gua Musang belum dibaik pulih sejak musim tengkujuh lalu dan tidak boleh dilalui semua kenderaan.

“Pos tempat tinggal kami tidak mempunyai klinik dan jika ada kecemasan kami perlu ke HGM yang mengambil masa lima jam melalui jalan darat.

“Memandangkan laluan rosak dan tidak boleh dilalui kami terpaksa merujuk masalah kesihatan anak kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk mendapatkan bantuan penerbangan ihsan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Farhan Marzuki berkata, penerbangan ihsan itu berlepas dari Pangkalan Udara Subang, Selangor jam 1.50 petang menggunakan Agusta AW189.

“Sebelum itu, helikopter mendarat di Bandar Gua Musang petang untuk mengambil doktor dan seorang jururawat, sebelum penerbangan dan mendarat di Pos Balar jam 3.20 petang untuk mengambil kanak-kanak itu.

“Helikopter selamat mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang jam 3.46 petang, dan mereka dihantar ke HGM dengan ambulans disediakan JBPM,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua kanak-kanak itu berada dalam keadaan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 6:31 PM