Nor Azura Abdul Jalil

DUA rakan diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas empat pertuduhan mengedar pelbagai jenis dadah seberat 123.1 kilogram (kg), dua tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah memerintahkan demikian kepada pemandu, Ong Chen Yaw, 32, dan deejay kelab malam, San Kim Huat, 37, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 95.2 kg, methylenedioxymethaphetamin (MDMA-ekstasi) seberat 26.8 kg dan ketamin seberat 1.2 kg.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di rumah Jalan Denai Selatan, Desa Park City, Kepong pada 6.25 petang, 12 Mei 2015.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zalina Awang @ Mamat manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk Hariharan Tara Singh. 

Sepanjang prosiding perbicaraan yang bermula pada 21 Februari lalu, pihak pendakwaan mengemukakan 11 saksi untuk memberi keterangan. 

Mahkamah kemudian menetapkan 14 November ini untuk perbicaraan di peringkat pembelaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 1:31 PM