Kajang: Hilang akal akibat mabuk menyebabkan seorang lelaki mengamuk sebelum menggigit kepala adik iparnya selain membelasah isteri menggunakan topi keledar.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah malam kelmarin, suspek berusia 27 tahun dikatakan menyerang kedua-dua mangsa yang baru pulang bekerja di rumah mereka di Taman Cheras Prima, Batu 9 di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, suspek dipercayai ‘naik angin’ berikutan mangsa yang bekerja di sebuah kilang berhampiran pulang lewat ke rumah.

Menurutnya, suspek yang menunggu di hadapan rumah membaling botol arak ke arah isterinya, namun sempat dihalang adik mangsa.

Dia berkata, suspek kemudian menyerang pula adik iparnya menggunakan topi keledar.

“Tidak cukup dengan itu, suspek menggigit kepala adik iparnya lelaki berusia 18 tahun sekuat hati. Dia kemudian menumbuk muka dan badan isterinya sehingga terjatuh selain menyerang menggunakan topi keledar,” katanya.

Mangsa yang berjaya menyelamatkan diri membuat laporan di Balai Polis Batu 9.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 6:57 AM