KUALA LUMPUR, 2 Jun -- Presiden Kelab Akbar Kebangsaan (NPC) Datuk Ahirudin Attan (kanan) menunjukkan pingat yang dimenangi selepas berjaya menamatkan larian pada Jom Jalan bersama National Press Club (NPC) 2024 di Padang Merbok hari ini.
KUALA LUMPUR, 2 Jun -- Presiden Kelab Akbar Kebangsaan (NPC) Datuk Ahirudin Attan (kanan) menunjukkan pingat yang dimenangi selepas berjaya menamatkan larian pada Jom Jalan bersama National Press Club (NPC) 2024 di Padang Merbok hari ini.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Kalau benar nak perluaskan PPPA (Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984) kepada media dalam talian, ucapkan selamat tinggal untuk dapatkan sokongan daripada wartawan."

Demikian reaksi Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Datuk Ahirudin Attan ketika diminta mengulas kemungkinan jika PPPA diperluaskan untuk mengawal kandungan media dalam talian.

Menurut Ahirudin, langkah memperluaskan PPPA adalah sesuatu yang tidak berakal jika dilaksanakan dan beliau yakin, tiada wartawan akan menyambut baik cadangan itu.

"Saya mungkin tidak bercakap mewakili semua wartawan tapi saya percaya mereka tiada (wartawan) yang menyokong.

"Apa kita harapkan adalah hapuskan, bukan perluaskan dan jika benar ia berlaku (diperluaskan), lupakan untuk dapatkan sokongan kami.

"Saya faham kebimbangan kerajaan terhadap penyebaran berita palsu tapi buat perkara yang betul, bukan untuk kepentingan diri," katanya ditemui media pada sidang media selepas program Jom Jalan Bersama NPC 2024 di Padang Merbok, di sini, hari ini.

Program bermula jam 6.30 pagi itu disertai 300 peserta termasuk 56 anak yatim daripada tiga rumah kebajikan iaitu Light House, Rumah Victory dan Persatuan Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Ibu Tunggal Hajah Kamariah.

Berhubung kedudukan Malaysia yang jatuh 34 anak tangga iaitu daripada 73 pada tahun lalu ke-107 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024, Ahirudin berkata, ia mencerminkan ketidakpekaan terhadap laporan yang dikeluarkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Wartawan Tanpa Sempadan (RSF).

"Sebelum jatuh 34 anak tangga, kedudukan kita naik 40 tangga pada tahun sebelumnya, jadi bagaimana justifikasinya?

"Pada pandangan saya, RSF perlu menambahbaik mekanisme untuk mencerminkan profesionalisme dan integriti," katanya yang juga penulis blog dikenali dengan nama 'Rocky Bru' dan pernah menjadi pengarang beberapa akhbar seperti Business Times dan Malay Mail, malah kini menerajui portal berita The Scoop.

Dalam pada itu, Ahirudin berkata, mana-mana pihak tidak kira polis mahupun menteri sekalipun tiada hak untuk meminta media menurunkan artikel yang sudah diterbitkan.

"Bagaimanapun, polis misalnya, boleh minta kerjasama media untuk buat penukaran dan semak fakta laporan diterbitkan.

"Polis harus faham media juga mempunyai disiplin seperti polis yang mana kita tidak boleh buat sesuatu yang bertentangan dengan prinsip," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2024 @ 12:01 PM