Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Lanjutan tempoh 30 hari bagi ahli perniagaan Tan Sri Mohkzani dan Mirzan Mahathir untuk mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibenarkan atas dasar kewajaran.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kedua-dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir itu turut didapati mempunyai harta yang banyak selain perlu meneliti dengan tepat setiap harta yang perlu diisytihar.

"Mokhzani ada memohon tambahan masa sebelum ini dan SPRM sudah lanjutkan selama 30 hari lagi.

"Tempoh masa yang diberikan itu adalah wajar berdasarkan penerangan pegawai penyiasat yang menjalankan siasatan," katanya pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) kali ke-10 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Azam berkata, hal ini kerana harta yang terbabit untuk disiasat adalah banyak dan perlu lebih terperinci untuk mendapatkan dokumen atau akaun berkaitan.

"Kerjasama baik diberikan oleh Mokhzani dan abangnya, Mirzan kepada pihak SPRM sepanjang siasatan dijalankan," katanya.

Ditanya adakah tempoh lanjutan pengisytiharan harta boleh dipohon lagi selepas ini, beliau berkata, permohonan seterusnya boleh dipohon oleh kedua-duanya.

"Namun perkara itu perlu disemak dan dikaji terlebih dahulu oleh pegawai penyiasat," katanya.

Pada 18 Januari lal.u, SPRM mengkehendaki Mirzan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.

Mokhzani pula disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Berita berkaitan:

Mirzan diberi tempoh lanjutan 30 hari - SPRM

'SPRM beri tempoh 30 hari, kami dalam proses sediakan maklumat'

SPRM belum terima notis pengisytiharan harta anak Tun M

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 2:10 PM