SUFFIAN dan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Hafisham Mohd Noor ketika sidang media operasi mencari dan menyelamat kejadian tanah runtuh di Father Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SUFFIAN dan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Hafisham Mohd Noor ketika sidang media operasi mencari dan menyelamat kejadian tanah runtuh di Father Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Raja Noraina Raja Rahim


Hulu Selangor: Polis belum mengenalpasti identiti mayat kanak-kanak perempuan yang ditemukan di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, mayat kanak-kanak perempuan terbabit dianggarkan berusia antara enam hingga 10 tahun.

"Semasa dijumpai, mangsa memakai seluar tidur dan baju berwarna merah jambu.

"Turut dijumpai empat beg pakaian dan komputer riba, namun tiada pengenalan diri dijumpai dalam beg atau di samping mayat mangsa," katanya dalam sidang media di lokasi hari ini.

Suffian berkata, proses bedah siasat mangsa akan dijalankan di Hospital Sungai Buloh (HSB), hari ini.

Susulan penemuan mayat mangsa ke-25 itu, beliau berkata, pihaknya berharap ada perkembangan positif bagi meneruskan misi mengesan baki lapan mangsa yang dipercayai masih hilang.

"Ini satu 'booster' kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) untuk mencari mangsa lain. Kita juga menjalankan kaedah 'sweeper' di luar kawasan kejadian sebagai usaha menjejaki mangsa," katanya.

Kata Suffian, operasi pada hari keenam yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diteruskan bersama lima agensi lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 11:29 AM