MOHD Na’im Mokhtar. FOTO Bernama
MOHD Na’im Mokhtar. FOTO Bernama
Samadi Ahmad


Sepang: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar akan menyiasat kes tiga bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam, selepas agensi yang mengendalikan pakej itu gagal menyediakan tiket balik ke Malaysia.

Katanya, ini maklumat pertama yang diperolehi mengenai jemaah terkandas menggunakan visa pelancong.

"Kita akan dapatkan maklumat mengenai perkara ini secara terperinci dan maklumkan kemudian," katanya selepas menghadiri Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada 282 bakal jemaah haji yang berlepas ke Tanah Suci di Pusat Konvensyen, Hotel Movenpick, di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan sepasang suami isteri dan seorang wanita dari Sabah terkandas di KLIA.

Difahamkan, agensi yang mengendalikan pakej itu menyediakan visa pelancong dan tiket penerbangan Qatar Airways dari KLIA ke Singapura serta seterusnya ke Doha dan Riyadh bagi mengaburi pihak berkuasa.

Mereka dijangka akan mendarat di lapangan terbang Riyadh dan menaiki penerbangan domestik ke Jeddah.

Agensi terbabit juga didakwa menyediakan tiket palsu balik ke Malaysia yang dikesan petugas kaunter KLIA sebelum menghalang mereka berlepas ke luar negara.

Mohd Na'im berkata, beliau berharap semua pihak mematuhi peraturan dan undang-undang ditentukan pihak berkuasa Arab Saudi.

Menurutnya, sebarang tindakan tidak bertanggungjawab boleh memberi kesan kepada individu terbabit termasuk nama negara menjadi buruk.

Beliau turut mengingatkan seluruh rakyat Malaysia agar mematuhi keputusan fatwa Kerajaan Arab Saudi berkenaan larangan menunaikan haji tanpa permit dan sebarangan penggunaan visa tidak sah akan dikenakan tindakan.

"Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi juga sentiasa memantau mana-mana pihak yang mempromosikan pakej haji tanpa melalui prosedur yang betul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 4:13 PM