PULUHAN kampit  beras, tin sardin dan tepung dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-kampung Gunung Senyum. FOTO Ihsan Pembaca
PULUHAN kampit beras, tin sardin dan tepung dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-kampung Gunung Senyum. FOTO Ihsan Pembaca
Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa tindakan sewajarnya diambil terhadap bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said yang mengaku bertanggungjawab susulan tular isu pembuangan beras dan barang dapur yang sepatutnya diagihkan kepada orang ramai.

Pegawai Pendidikan CAP NV Subbarow berkata, dalam situasi rakyat Malaysia berdepan isu lonjakan harga dan ketiadaan beras tempatan, tindakan dilakukan oleh seorang pemimpin yang pernah memegang portfolio menteri, amat sukar diterima.

"Kementerian berkaitan mesti dakwa Ahli Parlimen berkenaan atas tindakannya membuang dan membakar bahan makanan yang boleh dimakan.

"Beliau kena bayar nilai harga beras dan makanan yang telah di bakar. Duit yang dibelanjakan untuk beli beras adalah duit rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lewat petang semalam, tular di media sosial gambar puluhan kampit beras, tin sardin, tepung dan barangan makanan lain dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur - Kampung Gunung Senyum, Temerloh, Pahang.

Gambar itu menjadi tular selepas dimuat naik oleh beberapa pengguna media sosial di Facebook dan juga Tik Tok yang kebetulan melalui jalan berkenaan.

Susulan daripada itu, Ismail hari ini memohon maaf atas kekhilafan terbabit dan mendakwa kesemua bekalan terbabit adalah stok simpanan yang disediakan untuk orang ramai ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau.

Dakwanya, barangan terbabit dibeli menggunakan peruntukan peribadi dan disimpan sebelum tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022. Bagaimanapun, dalam tempoh berkempen, tiada sebarang pemberian barangan kepada orang awam dibenarkan.

Mengulas lanjut Subbarow berkata, amat sukar diterima apabila tindakan terbabit dilakukan seorang pemimpin yang pernah memegang jawatan timbalan menteri.

"Memang sukar dipercayai dan tidak boleh diterima alasan yang diberikan oleh Ismail yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri. Pada masa ini semua orang sedang memburu beras. Tak kisahlah bila dia beli beras dan agihkan. Sepatutnya bungkusan beras dan makanan terbabit boleh diedarkan dengan mudah kepada orang ramai," katanya.

Tegasnya lagi, alasan stok makanan terbabit sudah dimakan tikus menunjukkan pemimpin terbabit tidak serius terhadap peranannya sebagai seorang Ahli Parlimen yang bertanggungjawab.

"Jika tidak boleh diedarkan (stok makanan terbabit), ini menunjukkan beliau tidak serius terhadap isu makanan. Jangan mengeluh (dengan memberi alasan) stok beras dan makanan lain sudah rosak akibat dicemari tikus.

"Dia tidak boleh memberi alasan atas kesilapannya. Sudah pasti beliau ada cukup pegawai untuk membantu. Adakah semua pegawai menjadi buta kerana tidak tahu berapa banyak bungkusan makanan yang ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 2:56 PM