BERAS, sardin dan tepung yang dibuang di Jalan Pintasan Rumpun Makmur, Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau di Temerloh pada 18 April lalu. FOTO Tular
BERAS, sardin dan tepung yang dibuang di Jalan Pintasan Rumpun Makmur, Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau di Temerloh pada 18 April lalu. FOTO Tular
Asrol Awang

Kuantan: Lima individu termasuk bekas Ahli Parlimen diambil kenyataan bagi membantu siasatan kes membuang beras, sardin dan tepung di Jalan Pintasan Rumpun Makmur, Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau di Temerloh pada 18 April lalu.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata kertas siasatan akan dirujuk kepada bahagian perundangan SWCorp untuk semakan dan sebarang arahan lanjut.

"Kami merekodkan kenyataan antara empat dan lima saksi termasuk seorang bekas Ahli Parlimen untuk membantu menyelesaikan siasatan.

"Bahagian perundangan SWCorp akan meneliti kertas siasatan sebelum menyerahkannya kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya .

"Semua saksi telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dan semuanya berjalan lancar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sharudin berkata, dalam kes terbabit, pelaku boleh didakwa mengikut Seksyen 71 (1), Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 kerana melonggokkan sisa pepejal terkawal di kawasan yang tidak dibenarkan.

Pada 18 April lalu, tular di media sosial gambar puluhan kampit, beras tin sardin dan tepung dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum.

Difahamkan, gambar itu mula tular selepas dimuat naik oleh beberapa pengguna media sosial Facebook dan Tik Tok sekaligus menimbulkan pelbagai reaksi warganet.

Susulan kes itu, bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said mengaku bertanggungjawab dan sangat menyesali perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 4:37 PM