Mohd Jafni (empat dari kiri) melawat projek perumahan sakit terbengkalai Taman Seri Molek Perdana yang lebih 10 tahun tidak siap. FOTO OMAR AHMAD
Mohd Jafni (empat dari kiri) melawat projek perumahan sakit terbengkalai Taman Seri Molek Perdana yang lebih 10 tahun tidak siap. FOTO OMAR AHMAD
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Projek sakit Taman Seri Molek Perdana di sini, yang lebih 10 tahun terbengkalai dijangka siap sepenuhnya dan diserahkan kepada pemilik selewat-lewatnya suku keempat tahun ini.

Fasa akhir projek itu membabitkan blok rumah pangsa kos sederhana rendah blok D dan rumah pangsa kos rendah blok E, kini dalam proses akhir teknikal bagi mendapatkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata ia projek sakit terakhir di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di negeri ini.

Katanya, fasa satu projek membabitkan 160 unit rumah dan lapan kedai di blok F siap sepenuhnya dan mendapat CCC pada 15 Januari 2020.

"Fasa kedua, membabitkan 253 unit rumah iaitu blok A, B dan C juga telah siap sepenuhnya dan mendapat CCC pada 15 Disember 2021. Daripada jumlah itu 176 sudah terima kunci dan ada baki 77 pemilik yang kita tidak dapat kesan.

"Saya minta di SPNB, jawatankuasa penduduk dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya untuk kesan 77 pemilik rumah ini, kerana mungkin mereka tidak tahu rumah sudah siap dan ada pemilik juga sudah meninggal dunia kerana sudah lebih 10 tahun pembinaannya terbengkalai.

"Fasa akhir membabitkan blok D dan E, Insya-Allah Ogos atau September tahun ini selesai CCC dan serah kunci," katanya ketika ditemui selepas melawat Projek Rumah Sakit, Taman Seri Molek Perdana di sini hari ini.

Turut hadir ADUN Johor Jaya Liow Cai Tung dan Pengurus SPNB, Mohd Khairul Azli.

Menurut Mohd Jafni, Projek Taman Seri Molek Perdana mengalami masalah kelewatan sejak tahun 2019, apabila kontraktor pertama yang dilantik gagal menyiapkan projek terbabit.

Katanya selepas menamatkan kontraktor pertama, pelantikan kontraktor kedua juga mengambil masa dan berhadapan kekangan kewangan akibat penangguhan kerana pendemik Covid-19.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 12:49 PM