GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Georgetown: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 menahan seorang remaja lelaki dan merampas 288,400 batang rokok putih dipercayai barang seludup yang bernilai RM230,070 selepas menyerbu sebuah kedai di Kampung Pekan Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah semalam.

Pemangku Komander PPM Wilayah 1, Superintendan Shoppri Saad berkata, Unit Risik pasukannya telah menyerbu premis yang dijadikan stor menyimpan rokok pelbagai jenama itu pada jam 3 petang hasil maklumat dan risikan.

Beliau berkata, semasa pemeriksaan polis menemui hampir 30 buah kotak mengandungi rokok yang disyaki tidak dibayar cukai, dan pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 1,442 karton atau 288,400 batang rokok di dalamnya.

"Semua rokok bernilai RM230,070 itu dirampas, manakala remaja lelaki berumur 17 tahun yang tidak lagi bersekolah dan bekerja sebagai pembantu kedai di premis itu ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan semua rokok itu dibawa masuk dari negara jiran oleh sindiket pengedaran rokok seludup sebelum diedarkan kepada pembeli yang terdiri daripada pemilik kedai dan dijual secara sembunyi-sembunyi kepada pelanggan mereka.

Shoppri berkata remaja itu diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Kedah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Katanya, Pasukan Polis Marin Wilayah 1 yang berpangkalan di Batu Uban di sini telah menjalankan beberapa siri tangkapan dan merampas lebih 5 juta rokok seludup di bawah Op Kontraband yang dilaksanakan sejak 1 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 8:01 PM