Kereta Perodua Axia yang dipandu secara melawan arus bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 6.2 Lebuhraya Sprint berhampiran Plaza Tol Pantai, Kuala Lumpur. FOTO ihsan JSPT
Kereta Perodua Axia yang dipandu secara melawan arus bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 6.2 Lebuhraya Sprint berhampiran Plaza Tol Pantai, Kuala Lumpur. FOTO ihsan JSPT
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Lelaki maut apabila kereta Perodua Axia dipandu secara melawan arus bertembung dengan sebuah kenderaan lain dalam kemalangan di Kilometer 6.2 Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) berhampiran Plaza Tol Pantai di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, lelaki berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi manakala pemandu Proton Saga iaitu lelaki berusia 25 tahun cedera.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kemalangan berlaku dari arah Hartamas menghala ke Plaza Tol Pantai.

"Siasatan awal mendapati, pemandu Perodua Axia membuat pusingan U di plaza tol berkenaan lalu memandu secara melawan arus.

"Kereta lelaki itu kemudian melanggar bahagian hadapan Proton Saga yang sedang menghala ke plaza tol di laluan paling kiri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, lelaki terbabit meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu Proton Saga yang cedera dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Pantai Kuala Lumpur untuk rawatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 12:16 PM