SYED Saleh (tiga kanan) ketika menyambut ketibaan 291 jemaah dari Madinah di hotel Land Premium. FOTO Bernama
SYED Saleh (tiga kanan) ketika menyambut ketibaan 291 jemaah dari Madinah di hotel Land Premium. FOTO Bernama
BERNAMA

Makkah: Kenaikan kos mengerjakan haji tahun ini diharap seiring dengan kualiti perkhidmatan dan kebajikan yang bakal dinikmati jemaah.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, keadaan kenaikan kos bukan saja menjadi topik utama di tanah air tetapi juga negara lain, malah TH meletakkan harapan tinggi agar perjalanan haji tahun ini lebih baik dari sebelumnya.

"Perkara ini ada dibincangkan dengan negara-negara serantau bahawa kos haji yang meningkat begitu ketara berbanding tahun sebelum iniā€¦ ia disebabkan beberapa faktor luar kawalan seperti inflasi, percukaian dan sebagainya.

"Ada juga penambahbaikan perkhidmatan yang akan disediakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi serta Muassasah Asia Tenggara. Ini adalah selaras dengan visi dan misi 2030 kerajaan Arab Saudi. Kita berharap kenaikan kos turut meningkatkan kualiti perkhidmatan khususnya semasa Masyair," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis menyambut ketibaan 291 jemaah dari Madinah di hotel Land Premium, di sini, iaitu hotel kedua yang dibuka untuk jemaah Malaysia.

Menurut Syed Saleh, perkhidmatan Makkah Route atau pra pelepasan untuk jemaah haji Malaysia juga adalah salah satu perkhidmatan terbaik, apatah lagi Malaysia antara lima negara lain yang dipilih Arab Saudi.

Selain itu, kemudahan lain yang diharapkan ditambah baik termasuklah keselesaan di khemah sama ada di Arafah dan Mina, kemudahan tandas, kualiti sajian serta kelancaran pergerakan bas.

"Makkah Route mampu memberi kemudahan dan keselesaan yang sangat baik kepada jemaah haji kita kerana apabila mereka sampai saja di lapangan terbang sama ada di Terminal Madinah atau Jeddah, mereka terus menaiki bas tanpa melalui imigresen, kastam dan tanpa perlu menunggu beg.

"Mereka juga akan terus menaiki bas ke hotel dan barangan mereka akan dihantar ke hotel masing-masing. Perkhidmatan tambah baik juga akan dirasai oleh jemaah ketika di Arafah dan Mina. Khemah adalah yang baharu serta mempunyai pendingin hawa," katanya.

Beliau berkata, walaupun kos meningkat, hanya sebahagian saja ditanggung oleh jemaah haji manakala selebihnya diuruskan oleh TH melalui pelbagai pendapatan, pelaburan dan perniagaan, malah ia membabitkan perbelanjaan tambahan yang besar.

Jemaah yang berada di Madinah dan Makkah juga terpaksa berdepan dengan kenaikan harga makanan di restoran serta barangan lain.

"Sebenarnya kenaikan kos yang ketara ini turut membabitkan semua barangan dan perkhidmatan di Arab Saudi. Bukan saja mengerjakan haji tetapi juga kehidupan harian. Jemaah akan rasai kenaikan harga barangan untuk mereka beli sebagai cenderahati apabila mereka balik ke tanah air nanti," katanya.

Sementara itu, seramai 3,882 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Madinah menerusi 15 penerbangan.

Seterusnya mereka akan tiba di Makkah secara berperingkat untuk mengerjakan umrah pertama serta mengikuti pelbagai program menarik yang dianjurkan pihak TH.

Seperti mana jemaah dari penerbangan lain, malam tadi kesemua mereka yang melalui penerbangan KT04 disambut meriah dengan menerima jambangan bunga, manisan serta dihidangkan dengan air zam-zam oleh pihak pengurusan.

Salah seorang jemaah, Isnaini Raman, 48, berkata, beliau sangat teruja dan bersyukur kerana terpilih ke Tanah Suci, meskipun ada kala rindu dengan keluarga apatah lagi suami tidak dapat menemaninya.

"Saya menerima tawaran haji pada 2020 tetapi tertangguh kerana Covid-19, Alhamdulillah kali ini dapat dilaksanakan. Sukar nak digambarkan dengan kata-kata. Layanan dari pengurusan TH juga buat ramai jemaah terharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 4:31 PM