PASUKAN KPDN membuat pemeriksaan sebelum merampas 24 seluar tiruan ketika serbuan di Kampung Chenderong Batu. FOTO ihsan KPDN
PASUKAN KPDN membuat pemeriksaan sebelum merampas 24 seluar tiruan ketika serbuan di Kampung Chenderong Batu. FOTO ihsan KPDN
Siti Rohana Idris


Tumpat: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyerbu sebuah premis di Kampung Chenderong Batu, di sini, semalam, selepas peniaga itu didapati menjual pakaian berjenama tiruan menerusi jualan secara siaran langsung (live) di media sosial.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, serbuan jam 10 pagi semalam dibuat hasil aduan oleh wakil pemilik cap dagang sebelum risikan dijalankan menerusi media sosial.

"Ketika dibuat serbuan di rumahnya, peniaga lelaki berusia sekitar 30-an itu tidak mengaku menjalankan aktiviti terbabit namun sebaik dibawa ke satu ruang yang dijadikan premis jualan, kami menemui peralatan yang digunakan ketika membuat jualan secara dalam talian.

"Sebanyak 24 helai seluar jenama tiruan ditemui disyaki ada berlaku perlanggaran mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

"Semua seluar dengan nilai anggaran RM720 itu disita dan kita kesan ia sudah dijual sejak dua bulan lalu sebelum aduan dibuat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 kerana disyaki melakukan kesalahan iaitu mempunyai dalam milikan jagaan dan kawalan bagi maksud perdagangan.

Azman berkata, jika sabit kesalahan, pemilik premis perniagaan boleh dikenakan denda iaitu jika pertubuhan atau perbadanan, tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang manakala individu atau perseorangan pula RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

"Kami memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga yang dengan niat melakukan aktiviti tidak bermoral ini supaya menghentikannya segera.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan ini dan boleh dikenakan denda yang tinggi seterusnya dihadapkan ke mahkamah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 11:53 AM