RUANG duduk yang kemas  memberikan keselesaan kepada pengguna.
RUANG duduk yang kemas memberikan keselesaan kepada pengguna.
STESEN MRT ada menyediakan tempat letak kereta bertingkat bagi memudahkan pengguna meletakkan kenderaan.
STESEN MRT ada menyediakan tempat letak kereta bertingkat bagi memudahkan pengguna meletakkan kenderaan.
Fazurawati Che Lah


Kuala Lumpur: Rata-rata pengguna Transit Aliran Massa (MRT) berpuas hati dengan penyediaan kemudahan letak kereta bertingkat serta ruang parkir terbuka yang disifatkan mesra pengguna.

Dengan kemudahan berkenaan, pengguna MRT tidak perlu meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan yang boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak di kawasan itu.

Tinjauan Harian Metro di stesen MRT Sungai Buloh mendapati parkir bertingkat bersebelahan stesen itu agak selesa kerana menyediakan petak parkir yang banyak dan mengutamakan ruang letak kereta Orang Kurang Upaya (OKU) di setiap tingkat.

Parkir setinggi lapan tingkat itu mampu memuatkan lebih 300 kenderaan pada setiap masa serta terdapat kemudahan lif.

Seorang jurutera, Ahmad Zainul Ariffin, 30, menyifatkan bangunan kompleks letak kereta itu berciri moden dan mempunyai pelbagai kemudahan walaupun dia jarang menggunakan pengangkutan awam itu.

“Kawasan ini selesa dan luas. Ia berbeza berbanding tempat letak kenderaan tidak berbumbung.

“Turut disediakan ialah sistem penunjuk arah petak letak kereta yang kosong,” jelasnya.

Pembantu tadbir, Siti Rahayu Mohammad, 24 berkata, parkir bertingkat itu memudahkan urusan meletakkan kereta berbanding sebelum ini yang terpaksa diletakkan di bahu jalan.

“Saya sukakan konsep kompleks letak kereta ini yang bersambung terus ke stesen MRT.

“Ia turut dilengkapi skrin yang membolehkan pengguna tahu ruang parkir kosong bagi setiap tingkat menyebabkan tidak tercari-cari petak kosong,” katanya yang menggunakan MRT setiap hari untuk berulang-alik ke tempat kerja sebaik memulakan operasi kira-kira sebulan lalu.

Rakannya, Fitri Hamidah Mazlan, 22, memuji tindakan pihak pengurusan yang turut menempatkan pengawal keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 5:44 AM