AZHARINA Azhar
AZHARINA Azhar
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Azharina Azhar meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir pihak yang mendiskriminasi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) sehingga menidakkan hak mereka untuk menggunakan kemudahan awam.

Penyanyi Elegi Sepi itu berkata, dia juga berdepan situasi sama semalam ketika keluar bersama kakak angkatnya, Aisyah, yang juga pemegang kad OKU.

"Semalam, saya dijemput oleh kakak angkat saya, kak Aisyah untuk menemaninya keluar membeli barang di kedai yang baru dibuka di kawasan Puchong. Bila sampai di situ, kakak pun terus parkir di tempat ditetapkan kerana dia ada kad dan pelekat kereta OKU.

"Namun, tak lama kemudian muncul dua pengawal dan minta kakak alihkan kereta dari tempat parkir berkenaan dengan alasan pihak atasan mereka tak suka kalau ada orang letak kereta di situ kerana nampak semak," katanya kepada Harian Metro.

KERETA yang dinaiki kakak angkat Azharina yang juga seorang OKU. FOTO Facebook Azharina
KERETA yang dinaiki kakak angkat Azharina yang juga seorang OKU. FOTO Facebook Azharina

Menurut Azharina, dia yang menyaksikan situasi itu jadi keliru dengan sikap segelintir pihak pengurusan yang mewujudkan ruang untuk OKU, tetapi tidak membenarkan kemudahan sedia ada digunakan golongan sepatutnya.

"Kalau tak boleh diguna dan takut nampak semak, kenapa perlu disediakan tempat letak kereta OKU di situ? Ruang itu kosong dan tidak ada kenderaan lain yang menggunakannya," katanya.

Menurut Azharina, ini bukan kali pertama dia berdepan situasi sebegitu.

"Sebelum ini, saya sudah beberapa kali berdepan situasi sama antaranya dia pusat membeli belah dan klinik. Tempat letak kereta OKU memang ada, tetapi OKU tanpa kad dan pelekat kereta yang sesuka hati meletak kenderaan mereka di situ.

"Bayangkan, golongan OKU yang menggunakan kerusi roda atau warga emas terpaksa berjalan jauh semata-mata untuk mencari tempat parkir. Silap hari bulan, boleh meragut nyawa," katanya.

KERETA yang dinaiki kakak angkat Azharina yang juga seorang OKU. FOTO Facebook Azharina
KERETA yang dinaiki kakak angkat Azharina yang juga seorang OKU. FOTO Facebook Azharina

Azharina juga sempat memuat naik video serta beberapa gambar di Facebook miliknya.

"Saya kongsikan perkara ini bukan untuk ia tular, sebaliknya untuk membuka mata kita semua sebagai masyarakat supaya melihat isu kemudahan golongan OKU yang disalah guna.

"Pihak atasan tidak kiralah ahli jawatankuasa pengurusan bangunan, majlis perbandaran atau pun pihak kementerian patut berikan lebih banyak tumpuan kepada isu ini.

"Kalau kita boleh sibuk mengenai kemasukan pelancong China yang membawa virus maut, mengenai mangsa zon perang yang tak ada makanan, dan sebagainya, kenapa kita tak nak sibuk dan ambil tahu tentang kelemahan sistem pengurusan untuk OKU di dalam negara kita juga?" katanya.

Perkongsian Azharina itu ternyata menerima pelbagai reaksi masyarakat terutama pengikutnya di laman itu.

"Ramai yang komen dan menitip mesej kepada saya ucap terima kasih kerana mengangkat isu ini dan membuka mata banyak pihak disebabkan mereka juga sering berdepan situasi sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 1:31 PM