Hotel Emaar Royal di Madinah untuk jemaah haji Malaysia.
Hotel Emaar Royal di Madinah untuk jemaah haji Malaysia.
Husain Jahit


Madinah: Sebanyak tiga hotel disediakan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) untuk penginapan jemaah bagi musim haji 1445H/2024 di Madinah, yang berdekatan dengan Masjid Nabawi iaitu pada jarak antara 100 hingga 200 meter.

Demi keselesaan jemaah, Hotel Movenpick dan Hotel Al-Sajja untuk penginapan di Zon Satu dan Hotel Emaar Royal di Zon Dua sudah ditempah bagi memudahkan jemaah terutamanya yang sudah berusia, berulang alik ke masjid untuk melakukan ibadah.

Bagi Pengurus Pusat Pengurusan Zon 2 Madinah Imran Mohamad Hayat, dalam menyantuni jemaah haji negara, pihak TH sentiasa meletakkan kebajikan dan kemudahan sebagai keutamaan.

"Di Pusat Pengurusan Zon Dua iaitu Hotel Emaar Royal, kita menjangkakan penerbangan pertama KT Satu akan tiba di hotel pada 9 Mei (esok). Hotel ini mampu memuatkan 3,000 jemaah dalam satu-satu masa.

"Insha-Allah pihak pengurusan zon sedang melakukan usaha terbaik untuk memastikan jemaah dapat tinggal dengan selamat dan melakukan ziarah," katanya dalam sidang media bersama petugas media baru-baru ini.

Beliau berkata, antara perkhidmatan yang disediakan oleh pusat pengurusan zon termasuk membawa jemaah haji yang tiba sama ada dari terminal Makkah mahupun Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz atau Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz untuk melaksanakan program yang sudah susun oleh TH.

Antaranya ziarah luar di tempat bersejarah dan ziarah dalam di Masjid Nabawi dengan jemaah haji dibawa untuk menziarah makam Rasulullah SAW, perkuburan Baqi' dan ziarah Raudah, namun ia bergantung kepada kebenaran yang diberikan oleh Kementerian Haji Arab Saudi.

Dalam hal itu, katanya TH sentiasa berhubung dengan Kementerian Haji Arab Saudi untuk mendapatkan kebenaran buat jemaah haji Malaysia melakukan ziarah dalam serta perkembangan dari semasa ke semasa.

Selain itu, katanya pihak pengurusan zon turut menyediakan kerusi roda untuk jemaah yang menghadapi masalah bergerak sendiri untuk ziarah ke masjid.

Setiap zon ditempatkan petugas kebajikan, petugas kesihatan yang diketuai oleh seorang doktor pakar untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada jemaah serta Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci TH selain makanan dalam bentuk 'pack food.'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 11:21 PM