TOKOH Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2023, Mazlan Mohamad dan Tokoh Guru Kebangsaan, Dr Nuinda bersama anugerah diterima sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-52 Tahun 2023. FOTO Nuraliawati Sabri
TOKOH Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2023, Mazlan Mohamad dan Tokoh Guru Kebangsaan, Dr Nuinda bersama anugerah diterima sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-52 Tahun 2023. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri

Melaka: "Titik permulaan saya sebagai guru adalah ingin membantu pelajar dan mencari kelainan apa yang boleh dicapai, langsung tidak pernah terfikir akan diangkat menjadi seorang tokoh," kata Tokoh Guru Kebangsaan 2023 Datin Seri Dr Nuinda Alias.

Menurut mantan Pengetua Cemerlang di Maktab Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, pengiktirafan itu adalah penghormatan teristimewa dalam hidupnya sepanjang bergelar pendidik dan pemimpin sekolah.

"Saya bersyukur dengan anugerah cukup istimewa ini, saya terharu dan berbangga kerana diberi penghargaan sebegini. Saya berharap anugerah ini akan memberi motivasi kepada rakan-rakan yang masih berkhidmat.

"Sesungguhnya, perjuangan pendidik tidak akan berhenti di sini sahaja sebaliknya kita akan terus berkhidmat untuk masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-52 Tahun 2023 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ibu kepada empat cahaya mata itu turut berpesan dan berkongsi pesanan kepada guru supaya terus menjadi insan yang berjiwa mulia dan ikhlas berjuang untuk mendidik anak bangsa.

"Saya juga selalu ketengahkan, jika mahu menjadi guru, hati perlu ikhlas dan didik dengan hati nurani selain bersemangat," katanya.

Sementara itu, bagi Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2023 iaitu Datuk Mazlan Mohamad, 69, dia berjuang sebagai guru bukan untuk mengejar anugerah sebaliknya mahu berusaha memastikan tiada anak bangsa yang tercicir dalam arus pendidikan.

"Saya percaya bahawa pendidikan itu mesti dikuasai oleh semua orang. Sebagai guru dan pendidik, menjadi tanggungjawab kami dalam memastikan semua murid serta pelajar mendapat pendidikan sewajarnya," katanya.

Mazlan yang 34 tahun mencurah keringat dalam pendidikan sebelum bersara pada 2014 berkata, meskipun kini sudah bersara namun dia masih aktif dengan terbabit secara langsung dalam bidang pendidikan termasuk membantu Institut Pendidikan Guru (IPG).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 3:42 PM