HM Digital

Diabetes adalah penyakit yang serius. Walaupun penghidap perlu mematuhi pelan rawatan yang memerlukan komitmen penuh, namun usaha itu sangat berbaloi. Penjagaan teliti mampu mengurangkan risiko serius termasuk komplikasi yang mengancam nyawa.

Dalam kalangan penghidap diabetes Jenis 2, pankreas yang menghasilkan insulin masih berfungsi namun tidak secekap seperti yang sepatutnya. Ini bermaksud tubuh mereka sedang membina kerintangan insulin yang menyebabkan tubuh badan tidak berupaya menukar glukosa daripada makanan kepada tenaga dan mengakibatkan terlalu banyak gula kekal dalam darah.

Diabetes Jenis 2 boleh diuruskan dengan mengubah gaya hidup termasuk pemakanan sihat, senaman tetap dan mengawal aras glukosa dalam darah. Makan dengan baik membantu menguruskan aras glukosa darah dan berat badan kita, manakala bersenam membantu insulin menjalankan fungsinya dengan lebih cekap, menurunkan tekanan darah dan mengurangkan risiko sakit jantung.

Matlamat pengurusan diabetes adalah mencapai kawalan glukosa darah yang optimum kerana ini akan membantu mencegah komplikasi jangka panjang dan pendek. Oleh itu, ujian pemantauan glukosa darah yang berkala memberitahu sama ada rawatan yang diikuti mencukupi untuk mengawal aras glukosa darah atau pesakit perlu mengubah rawatan mereka.

Gaya hidup sihat yang disyorkan termasuk melakukan aktiviti fizikal sederhana sekurang-kurangnya dua jam setengah setiap minggu atau satu jam 15 minit senaman berintensiti tinggi.

Aktiviti fizikal sederhana adalah seperti berjalan, berbasikal, senaman aerobik, jejak denai dan memotong rumput, manakala aktiviti memerlukan penggunaan lebih tenaga seperti joging, berbasikal bukit dan bermain bola sepak.

Melakukan pengurangan berat badan beransur-ansur bagi mencapai jisim berat badan (BMI) yang sihat. Mengganti karbohidrat halus kepada makanan bijirin penuh dan meningkatkan pengambilan sayuran dan makanan lain yang tinggi serat. Pesakit diabetes juga dinasihatkan mengurangkan pengambilan lemak tepu dalam pemakanan.

Mereka yang mempunyai berat berlebihan disyorkan mengurangkan berat beransur-ansur sehingga mencapai BMI sihat iaitu antara 18.5 hingga 24.9 dengan sasaran pengurangan sebanyak lima hingga 10 peratus setahun.

Pengurangan berat membantu mengurangkan risiko mendapat diabetes, malah membolehkan pesakit diabetes mengawal glukosa darah dengan lebih baik. Jika BMI melebihi bacaan 30, anda mungkin dirujuk untuk mendapatkan kaunseling pemakanan dan menyertai program pengurangan berat berstruktur, manakala mereka yang tidak berupaya mengurangkan berat menerusi perubahan gaya hidup mungkin perlu mengambil ubatan untuk menurunkan berat.

Objektif pengurusan pemakanan untuk mengekalkan paras gula pada tahap normal, mengurangkan paras kolesterol dalam darah dan mengelakkan komplikasi diabetes. Ada tiga kumpulan makanan dalam pengurusan pemakanan untuk pesakit.

1. Kumpulan makanan yang perlu dielakkan

• Semua jenis gula: Gula putih, gula perang, gula Melaka, gula batu, madu

• Minuman manis: Minuman berkarbonat, kordial, sirap

• Sapuan: Jem, kaya, marmalad (jem limau)

• Makanan manis: Gula-gula, kuih manis, kek, coklat, ais krim, susu pekat manis, yogurt manis, lassi manis

• Pencuci mulut: Buah dalam tin yang ditambah sirap, agar-agar, jeli

2. Kumpulan makanan yang diambil mengikut sukatan

• Bijirin dan hasil bijirin

• Nasi

• Roti, biskut, kuih yang tidak manis

• Pasta, makaroni, spageti, mi, bihun, kuetiau, laksa

• Capati, roti canai, tosai

• Ubi kentang, ubi kayu, keladi, keledek

• Kekacang

• Susu dan hasil tenusu

• Buah-buahan

3. Kumpulan makanan yang boleh diambil secara bebas

• Semua jenis sayur-sayuran: Bayam, parsli, kailan, kubis, sawi, terung, kacang panjang, tomato, timun dan lain-lain

• Sayur-sayuran berkanji: Lobak merah, lobak putih, labu, boleh diambil mengikut sukatan

• Semua minuman tanpa gula: Teh Cina, air kosong, barli tanpa gula, kopi dan teh tanpa gula

• Rempah-ratus dan herba: Serbuk cili, serbuk kari, kayu manis, bunga cengkih, ketumbar, halia, serai, jintan, lada hitam, asam jawa, kunyit

• Semua daging tanpa lemak, ayam tanpa kulit dan lemak, tauhu, telur, ikan, ikan bilis

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 12:02 AM