SEKITAR operasi bersepadu di Little India, Brickfields, semalam. FOTO BERNAMA
SEKITAR operasi bersepadu di Little India, Brickfields, semalam. FOTO BERNAMA
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Peniaga dan warga tempatan di Little India, Jalan Thamby Abdullah, Brickfields, di sini, menjalani aktiviti seharian seperti biasa selepas kawasan itu diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam.

Tinjauan mendapati kehadiran pekerja asing didapati kurang berbanding sebelum serbuan dijalankan di kawasan berkenaan.

Malah terdapat premis tidak beroperasi dipercayai akibat pekerja ditahan dalam operasi semalam.

Kawasan itu juga mula dipenuhi pelancong warga asing berbanding pada cuti umum yang lalu.

Peniaga tempatan, T Yugeswaran, 56, berkata, sebelum ini memang terdapat warga asing yang berniaga secara haram di kawasan berkenaan.

"Memang ada warga asing, mereka 'rambo' di kawasan ini terutama ketika musim perayaan, kami peniaga tempatan bayar lesen dan sebagainya tetapi mereka hanya ambil keuntungan mudah dengan berniaga secara haram.

"Tindakan penguatkuasaan perlu diambil secara berkala dan berterusan supaya mereka tidak naik kepala," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, sekurang-kurangnya ada 200 peniaga warga asing berniaga tanpa permit di Brickfields.

"Mereka buka meja berniaga di sekitar Brickfields. Kalau ada penguat kuasa datang mereka akan tutup," katanya.

Semalam, JIM menggempur Jalan Thamby Abdullah yang menjadi tumpuan warga asing khususnya warga India.

Operasi terbabit berjaya menahan lebih 100 pendatang asing tanpa izin (Pati) dari pelbagai negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 4:25 PM