KAUNTER Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA. FOTO/NSTP
KAUNTER Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA. FOTO/NSTP
Skuad Khas Harian Metro


KUALA LUMPUR: Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) menjelaskan sejak 2009 hingga sekarang, kerajaan tidak dikenakan bayaran bagi perkhidmatan disediakan syarikat itu kerana ia bertanggungjawab untuk pembangunan perisian, penyelidikan dan pembangunan, kos untuk pelayan serta hal logistik lain.

Sebaliknya, Pengarah Urusan UKSB Datuk Fadzil Ahmad berkata, syarikat itu hanya mengenakan caj kepada pengguna atau pemohon visa dari China sejak Mei 2012 sehingga sekarang.

Beliau berkata, sebelum 2012, pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di luar negara bertanggungjawab untuk menangani urusan pentadbiran dan hal teras jabatan itu termasuk permohonan visa serta isu berkaitan pasport.

“Mereka (pegawai JIM) berhadapan dengan jumlah permohonan yang tinggi sehingga bekerja sehari suntuk bagi memenuhi tempoh pemprosesan tiga hari selaras Piagam Imigresen. Kesesakan seperti itu menjadikan sukar bagi pelancong untuk melawat Malaysia.

“Dengan kewujudan pusat sehenti atau One Stop Center (OSC) dan sistem Visa Luar Negara (VLN) yang dinaik taraf pihaknya, kakitangan syarikat yang melakukan semua kerja termasuk kemasukan data, pengekstrakan, pengesahan dan ketepatan data sebelum penyerahan dalam talian ke lampiran untuk kelulusan JIM. Itu menjadikan pemprosesan visa lebih cekap, sistematik dan terjamin.

“Oleh itu, ketika musim puncak, lebih daripada 15,000 permohonan diproses setiap hari. Ia membantu meningkatkan jumlah pelancong dari China sebanyak 40 peratus,” katanya.

Dalam temu bual bersama The Star yang disiarkan semalam, beliau menjelaskan dari 2009 hingga 2010, pihaknya menyusun semula konsep pusat sehenti dan permohonan visa.

Fadzil berkata, pihaknya melaksanakan kedua-dua sistem itu dan membuktikan kesahihannya di Ghuangzou dan Beijing sejak April 2011 untuk tempoh setahun.

“Selepas kerajaan berpuas hati, kami memperoleh kontrak untuk melaksanakan kedua-duanya di China pada Mei 2012. Tahun sama, kami menaik taraf sistem VLN. Kemudian, Mei 2013 kami memperluaskan sistem VLN ke negara Asia Selatan termasuk India, Nepal dan Myanmar.

“Pada Februari 2014, kami menandatangani kontrak VLN dan memindahkan pemilikan kepada kerajaan,” katanya.

Menurutnya, kemudahan Electronic Travel Registration & Informatian (eNTRI) adalah untuk rakyat China dan India memasuki Malaysia tanpa visa bagi tempoh 15 hari dan mereka mempunyai pilihan untuk memohon Visa Elektronik (eVisa) untuk tinggal lebih lama dalam tempoh 30 hari di Malaysia.

Menjawab dakwaan UKSB mengenai sistem keselamatan itu yang longgar, Fadzil berkata, terdapat kes enam wanita mencurigakan dari China dan pihaknya rujuk perkara berkenaan dengan Imigresen.

“Namun, mereka ternyata hanya pelancong dan kami dikritik kerana syak wasangka kami. Sebenarnya, kita tidak boleh menilai sama ada pelawat itu mempunyai niat tidak baik atau sebaliknya.

“Kita tidak tahu apa niat sesetengah warga asing nak masuk (Malaysia) melainkan jika nama mereka muncul dalam senarai suspek. Sistem (kita) tidak dapat mengesan.

“Tetapi jabatan Imigresen mempunyai sistem pemeriksaan sendiri, seperti kekerapan kemasukan pelancong,” katanya.

Laporan eksklusif secara bersiri disiarkan Harian Metro sejak 14 November lalu mendedahkan mengenai kelemahan sistem dalam talian permohonan VLN yang dikendalikan syarikat UKSB untuk kemasukan warga China ke Malaysia.

Kelemahan sistem dalam talian permohonan VLN terbongkar hasil maklumat disalurkan kepada Skuad Khas Harian Metro oleh sumber boleh dipercayai dan wartawan akhbar ini turut berada di Guangzhou, China selama beberapa hari untuk memperoleh maklumat lebih terperinci.

Hasil maklumat diperoleh, didapati kemudahan eNTRI untuk rakyat China memasuki Malaysia tanpa visa bagi tempoh 15 hari tidak menepati matlamatnya sebagai satu sistem saringan awal, sebagaimana diuar-uarkan.

Ia menunjukkan begitu mudah borang kemasukan atau tapisan awal itu diberi tanpa mengambil kira foto, alamat dan tujuan lawatan.

Kemudahan itu dikesan sekadar memberi keuntungan kepada UKSB yang diberi hak eksklusif oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menguruskannya pada 2016 sehingga sekarang.

Mengenai keselamatan pula, Fadzil berkata, pihaknya hanya boleh melakukan silang semak Senarai Suspek Imigresen setiap permohonan yang masuk tetapi tidak mempunyai akses terperinci kepada pangkalan data.

“Kami tidak mempunyai akses seperti siapa (empunya identiti) atau apa jenayah yang mereka lakukan. Pangkalan data adalah maklumat keselamatan tinggi dan ia berada di bawah bidang Imigresen.

“Jika pemeriksaan balas kami menghasilkan hit (selepas sembilan kali mengklik), maka kami akan mengemukakan permohonan itu kepada Imigresen dengan menyatakan bahawa pemohon berada pada Senarai Suspek. Selanjutnya, terpulang kepada Imigresen untuk menolak atau meluluskan permohonan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 10:07 AM