GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Bayi perempuan berusia 18 bulan maut dipercayai lemas di dalam besen ketika berada di bawah jagaan seorang pengasuh wanita yang juga nenek saudaranya dalam kejadian di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Seri Juru, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata polis menerima laporan kematian bayi itu kira-kira jam 1 tengah hari daripada pihak Hospital Seberang Jaya (HSJ).

"Pihak HSJ memaklumkan bahawa bayi berkenaan dibawa oleh seorang wanita dan bertindak melalui laporan itu polis ke rumah suspek untuk menjalankan siasatan.

"Siasatan mendapati tempat kejadian adalah di sebuah tandas di tingkat bawah dan temubual bersama saksi iaitu anak perempuan suspek berusia 16 tahun memaklumkan bahawa dia ternampak ibunya memegang bayi berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Melalui keterangan yang diberikan suspek mengatakan mangsa dalam keadaan tidak sihat dan muntah-muntah sebelum anaknya itu menghubungi ambulan pada 11.37 pagi," katanya dalam kenyatan di sini, hari ini.

Jelasnya, bagaimanapun laporan bedah siasat mendapati bayi berkenaan maut akibat lemas.

"Oleh itu, polis menahan suspek berusia 52 tahun untuk siasatan lanjut. Siasatan kemudian mendapati, ibu mangsa menghantar anaknya kepada suspek yang juga ibu saudara kepada ibu mangsa sejak sebulan yang lalu setiap Isnin hingga Jumaat pada 10 pagi hingga 6 petang.

"Suspek tinggal bersama suami dan seorang anak perempuannya di rumah itu," katanya.

Shafee berkata, polis turut merampas beberapa barangan seperti seluar dalam mangsa, besin mandi plastik, sampel air mandian, rambut, bangku plastik dan sapu tangan bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 2:02 PM