Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Masyarakat Daerah Klang, baru-baru ini. FOTO BERNAMA
Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Masyarakat Daerah Klang, baru-baru ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ahli politik veteran dan bekas Perdana Menteri sepatutnya tahu bahawa adalah tidak wajar untuk membuat kenyataan terbuka yang mempunyai kecenderungan membangkitkan kemarahan dan berniat jahat semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Dalam jawapannya kepada kenyataan pembelaan Muhyiddin terhadap saman fitnah difailkannya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa Muhyiddin memutarbelitkan kebenaran dan menyebarkan kepalsuan berhubung gajinya sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor, terutamanya apabila perkara yang sama disangkal secara terbuka olehnya tahun lalu.

Justeru, plaintif mendakwa kenyataan Muhyiddin semasa kempen pilihan raya di Padang Serai menjelang PRU-15 tahun lalu, adalah fitnah dan berniat jahat.

"Muhyiddin sepatutnya tahu bahawa tidak wajar untuk membuat kenyataan umum yang mempunyai kecenderungan membangkitkan kemarahan dan mencetuskan perasan niat jahat, tidak puas hati atau permusuhan antara individu dan calon, untuk mendorong mana-mana pemilih atau pengundi sebelum, semasa dan selepas pilihan raya, lebih-lebih lagi, apabila kenyataan tersebut bersifat fitnah dan berniat jahat.

"Walau bagaimanapun, defendan meneruskan untuk membuat perkara yang sama (menuduh fitnah dan atau perkataan fitnah) melalui ucapannya dalam kempen pilihan raya yang jelas tidak dapat dinafikan melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," kata Anwar dalam jawapan balasnya kepada Pengerusi Perikatan Nasional, yang difailkan melalui SN Nair & Partners bertarikh 16 Februari 2023.

Beliau seterusnya mendakwa tidak sukar bagi Muhyiddin untuk mengakses rekod hansard Parlimen yang tersedia secara umum sebelum membuat dakwaan itu.

Ahli Parlimen Tambun itu berhujah bahawa Muhyiddin tidak mempunyai kewajipan undang-undang untuk mengeluarkan kenyataan yang didakwa palsu dan berniat jahat di kawasan Padang Serai yang bukan kawasan Parlimen Pagoh.

Dalam saman itu, Anwar, 75, mendakwa 5 Disember lepas, Muhyiddin mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya dalam ucapan semasa 'Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai' di Taman Selasih, Kulim, sebagai menyokong calon Pilihan Raya Umum, Datuk Azman Nasrudin, yang dihadiri orang ramai.

Dalam saman tersebut, Anwar, 75, mendakwa pada 5 Disember lepas, Muhyiddin, telah membuat kenyataan fitnah itu dalam satu ucapan semasa 'Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai' di Taman Selasih, Kulim sebagai menyokong calon PN, Datuk Azman Nasrudin bagi Pilihan Raya Umum ke-15 dengan ratusan pengunjung telah menghadiri ceramah tersebut.

Anwar menuntut, antara lain ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan perintah injunksi untuk menghalang Muhyiddin daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah yang serupa.

Pada 17 Januari, Muhyiddin dalam pernyataan pembelaannya mendakwa, antara lain, Anwar tidak seharusnya tersinggung dengan kritikan dan persoalan yang dibangkitkan dalam ucapannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 4:38 PM