Seorang penyelia asrama sebuah sekolah berasrama di Kota Tinggi, dekat sini,  direman enam hari bermula hari ini, kerana membuat tuntutan palsu kontrak pembekalan makanan pelajar sekolah berkenaan yang bernilai RM20 juta. FOTO IHSAN SPRM
Seorang penyelia asrama sebuah sekolah berasrama di Kota Tinggi, dekat sini, direman enam hari bermula hari ini, kerana membuat tuntutan palsu kontrak pembekalan makanan pelajar sekolah berkenaan yang bernilai RM20 juta. FOTO IHSAN SPRM
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seorang penyelia asrama sekolah di Kota Tinggi dekat sini, direman enam hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kerana membuat tuntutan palsu kontrak pembekalan makanan pelajar sekolah berkenaan yang bernilai RM20 juta.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nur Izzaty Mohammad Zahari, selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, pagi tadi.

Suspek seorang wanita berusia 40 tahun itu bertugas sebagai penyelia di sekolah berkenaan ditahan di Pejabat SPRM Johor pada jam 10 malam tadi, bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek bersubahat dengan beberapa syarikat kontraktor dengan membuat tuntutan berhubung kontrak pembekalan makanan bermasak untuk pelajar.

"Ia adalah kontrak pembekalan bagi tahun 2015, 2018 dan 2020 dengan jumlah tuntutan hampir RM20 juta yang mana pembekalan makanan berkenaan yang meragukan," kata SPRM dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi, mengesahkan permohonan reman berkenaan susulan penangkapan suspek.

"Kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009, yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang tinggi dan penjara maksimun 20 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 1:08 PM