NGO Thi Ngoc Thu didakwa memberi suapan kepada anggota polis di Tangkak di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
NGO Thi Ngoc Thu didakwa memberi suapan kepada anggota polis di Tangkak di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Wanita warga Vietnam mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberi suapan RM5,000 kepada pegawai polis di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Ngo Thi Ngoc Thu, 42, yang faham bahasa Melayu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Kontraktor di syarikat pemasangan jubin itu didakwa secara rasuah memberi suapan RM5,000 kepada Inspektor Louis Moh Chung Wen di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Tangkak pada jam 2.15 petang, 23 April lalu.

Ia sebagai dorongan untuk melepaskan dua rakannya, Nguyen Van Minh dan Tran Tuan Anh yang ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan gagal mengemukakan surat kebenaran rentas negeri.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika disabit kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ikhwan Ihsan Jalaludin manakala tertuduh diwakili oleh peguam Amarpreet Singh Rajwinder Singh.

Terdahulu, Ikhwan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada Tertuduh berikutan pas lawatannya tamat pada 18 April 2021.

Bagaimanapun Amarpreet memohon mahkamah supaya mempertimbangkan kebenaran jaminan berikutan tertuduh memiliki pas khas daripada Jabatan Imigresen yang sah tempoh sehingga 21 Mei 2021.

Amarpreet juga menyatakan anak guamnya juga membayar cagaran sejumlah RM10,000 kepada SPRM dan memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.

Amarpreet menyatakan tertuduh yang tinggal di Kluang masih memiliki tanggungan di negara asal iaitu seorang bapa yang sudah tua dan tiga cahaya mata berusia 15 hingga 21 tahun selain sedang hamil dua bulan dan menghadapi masalah diabetes.

Ahmad Kamal membenarkan jaminan RM5,000 dengan dua penjamin warga tempatan dan menetapkan 23 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula.

Tertuduh juga diperintahkan supaya melapor diri di Pejabat SPRM Kluang pada setiap awal bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 5:35 PM