Haiwan ternakan yang berkeliaran ditangkap manakala pemiliknya dikenakan kompaun. FOTO Ihsan Majlis Daerah Marang
Haiwan ternakan yang berkeliaran ditangkap manakala pemiliknya dikenakan kompaun. FOTO Ihsan Majlis Daerah Marang
Ahmad Rabiul Zulkifli


SEBANYAK 53 lembu dan kambing yang berkeliaran ditangkap Majlis Daerah Marang (MDM) dari Januari hingga hari ini.

Ia membabitkan 16 lembu dan 37 kambing dengan setiap pemilik dikenakan kompaun antara RM200 hingga RM500 seekor bergantung kepada tempoh tahanan.

Setiausaha MDM Nor Nadia Zahira Zakaria berkata, ternakan yang tidak dituntut dalam tempoh tujuh hari akan dilelong berpandukan harga yang diberikan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

“Hari ini kita menangkap seekor lembu dan pengurangan tangkapan ini membuktikan kesedaran penternak semakin tinggi untuk tidak membiarkan ternakan mereka berkeliaran sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

“Kemalangan membabitkan haiwan ternakan berkeliaran tinggi di Marang dan sebab itu MDM memandang serius masalah ini.

“Objektif kami melaksanakan operasi ini tercapai apabila ia memberi kesedaran dan didikan kepada penternak,” katanya ditemui dalam operasi menangkap haiwan ternakan berkeliaran.

Nor Nadia Zahira berkata, MDM turut meminta kerjasama daripada semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Marang untuk menyenaraikan jumlah penternak dan haiwan ternakan di daerah itu.

Katanya, rekod penternak dan jumlah ternakan itu akan memberi kemudahan kepada MDM dalam menangani masalah ternakan berkeliaran di daerah berkenaan.

“MDM menyasarkan sifar haiwan ternakan berkeliaran menjelang 2020 dan kami yakin sasaran itu mampu dicapai tetapi ia mengambil masa.

“Bukan niat kami membebankan penternak untuk membayar kompaun tetapi ia sebagai langkah mendidik.

“Kejayaan MDM menangani masalah ternakan berkeliaran mendorong Majlis Daerah Mersing dan Majlis Daerah Kota Tinggi, Johor mempelajari teknik menangkap haiwan itu dengan MDM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 5:17 PM