Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Seekor beruang matahari yang dipercayai berkeliaran dan merosakkan tanaman kelapa penduduk di Kampung Jenang di sini, sejak dua minggu lalu ditangkap awal pagi hari ini.

Beruang jantan seberat 70 kilogram itu berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di belakang rumah penduduk, kira-kira 2 pagi.

Difahamkan, beruang itu mula dikesan memasuki kawasan kebun kelapa penduduk sejak empat bulan lalu, namun semakin kerap muncul sejak dua minggu lalu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Jenang, Mustaffa Deraman berkata, beruang itu salah seekor daripada dua beruang yang dikesan merosakkan rumah dan kebun kelapa milik penduduk kampung membabitkan kerugian kira-kira RM2,000.

"Beruang yang kita tangkap ini sudah mengganas hampir empat bulan dengan merosakkan tanaman kelapa milik penduduk.

"Sebelum ini, beruang ini akan datang dan ambil umbut serta kelapa di kebun milik penduduk dan masuk kembali ke hutan tetapi sejak dua minggu lalu, ia semakin kerap datang.

"Jika dahulu, beruang ini akan pergi ke kebun tetapi sekarang ia pergi ke kawasan rumah penduduk yang ada pokok kelapa menyebabkan penduduk bimbang keselamatan mereka," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mustafa berkata, perangkap dipasang semalam dan pada 2 pagi tadi, beruang itu masuk bersama seekor lagi beruang dipercayai pasangannya tetapi ia berjaya keluar dari perangkap.

"Walaupun dapat tangkap beruang ini, kita tetap bimbang kerana ada lagi seekor beruang yang masih berada di kawasan ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan yang menyatakan terdapat seekor lagi beruang betina yang masih bebas.

Katanya, pihaknya akan memasang perangkap bagi menangkap haiwan itu.

"Beruang matahari atau nama saintifiknya helarctos malayanus yang dianggarkan berusia lapan tahun itu akan dihantar ke Taman Negara Terengganu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

MARANG 04 SEPTEMBER 2020. Kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu sedang membetulkan kanvas yang digunakan untuk menutup perangkap yang menempatkan beruang matahari jantan yang ditangkap di Kampung Jenang. NSTP/ ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
MARANG 04 SEPTEMBER 2020. Kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu sedang membetulkan kanvas yang digunakan untuk menutup perangkap yang menempatkan beruang matahari jantan yang ditangkap di Kampung Jenang. NSTP/ ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 3:16 PM