BERUANG matahari jantan seberat 105kg yang  diperangkap  Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) selepas mendapat aduan dari penduduk di  Kampung Pulau Rusa. FOTO Mohd Rafi Mamat
BERUANG matahari jantan seberat 105kg yang diperangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) selepas mendapat aduan dari penduduk di Kampung Pulau Rusa. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


KEBIMBANGAN penternak madu kelulut di Kampung Pulau Rusa, dekat Pekan, berakhir apabila beruang matahari jantan dewasa yang sering merosakkan sarang dan kebun buahnya, masuk perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), malam kelmarin.

Mazrul Arif Osman, 43, berkata, dia meminta bantuan PERHILITAN untuk memasang perangkap sejak dua bulan lalu, berikutan sarang lebah kelulut dan kebun buahnya dirosakkan haiwan liar itu yang nama saintifiknya, Halarctos Malayanus sehingga mengakibatkannya kerugian lebih RM2,000.

“Banyak pokok rambutan rosak apabila beruang terbabit bertindak mematahkan dahan pokok yang terdapat banyak buah.

“Penantian selama dua bulan untuk menangkap binatang liar yang merosakkan lima sarang kelulut selain turut makan buah-buahan termasuk durian sebelum ini akhirnya selesai,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mazarul Arif berkata, pada Mei lalu PERHILITAN turut berjaya menangkap seekor beruang jantan dewasa di Kampung Pulau Rusa yang lebih ganas apabila cuba memecah masuk bengkel perusahaan makanan penduduk kampung untuk mencari makanan.

Katanya, beberapa penduduk mendakwa masih terdapat seekor lagi beruang yang bergerak bebas merayau dalam kawasan kampung, namun saiznya lebih kecil berbanding dua beruang matahari yang ditangkap sebelum ini.

“Kami berharap PERHILITAN dapat terus menempatkan perangkap bagi menangkap binatang liar berkenaan yang merosakkan kebun nangka, pisang dan belimbing yang diusahakan penduduk kampung,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Pahang, Ahmad Azhar Mohammed berkata, beruang matahari jantan yang ditangkap di Kampung Pulau Rusa itu berumur lebih 12 tahun.

“Kita lepaskan binatang terbabit di hutan Taman Negara Sungai Relau Merapoh, Lipis bagi tujuan hidup bebas seterusnya bertemu dengan pasangan dan membiak dalam kawasan semula jadi.

“Saya menasihatkan kepada masyarakat supaya segera menghubungi PERHILITAN jika mereka mengetahui kehadiran binatang liar di kawasan kampung bagi tujuan siasatan dan menangkapnya, jangan mengambil sebarang tindakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 12:46 PM