PARAMESVARY tidak dapat menahan kesedihan ketika ditemui di kediamannya di Taman Serdang Jaya di Sitiawan malam ini. FOTO Bernama
PARAMESVARY tidak dapat menahan kesedihan ketika ditemui di kediamannya di Taman Serdang Jaya di Sitiawan malam ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Manjung: Adik sepupu Lt T Sivasutan, 31, seorang daripada mangsa yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak hari ini berkata, tubuhnya tidak berhenti menggigil apabila menerima perkhabaran duka itu.

M Sivanesan, 23, sedang bekerja di Manjung sebelum mendapat tahu mengenai insiden itu pada kira-kira 10.30 pagi menerusi maklumat dan gambar selain video yang tular di laman sosial.

Bimbang jika abang kandungnya, yang juga anggota TLDM dan juruterbang bagi pasukan keselamatan itu, turut terbabit dalam nahas tersebut, dia terus menghubungi ibunya bagi mendapatkan kepastian.

Walaupun dimaklumkan bahawa abangnya tidak terbabit, Sivanesan berkata, hatinya luluh apabila mengetahui Sivasutan pula disahkan sebagai seorang daripada mangsa yang maut dalam nahas itu dan dia terus bergegas ke rumah ibu saudaranya.

"Apabila mendengar berita itu daripada emak saya, badan saya terus menggigil. Memang sedih sebab dia selalu datang ke rumah saya dan banyak bercerita dengan saya," katanya kepada pemberita di rumah ibu bapa mendiang Sivasutan di Sitiawan dekat sini malam ini.

Sivanesan berkata, dia juga terkenangkan sikap Sivasutan, anak kedua daripada tiga beradik, yang sering memberi peringatan kepadanya supaya jangan cepat mengalah dalam mengejar cita-cita.

"Dulu saya suka dengan unit beruniform tetapi lama-kelamaan, saya lebih gemarkan bidang pelancongan.

"Mendiang selalu cakap kalau suka sesuatu itu, pastikan bekerja keras sehingga dapat dan akhirnya saya berjaya juga dapatkan diploma dalam bidang pengurusan pelancongan," katanya.

SIVANESAN menunjukkan gambar perkahwinan mendiang. FOTO Bernama
SIVANESAN menunjukkan gambar perkahwinan mendiang. FOTO Bernama

Dia juga berkata, ibu bapa mendiang Sivasutan, R Paramesvary, 60, dan M Thanjappan, 61, masih menangis kerana tidak dapat menerima kehilangan satu-satunya anak lelaki mereka, yang baru melangsungkan perkahwinan pada Januari lepas.

Sivanesan berkata, isteri abang sepupunya itu, yang dikenali sebagai Tharshini, 31, adalah seorang doktor gigi manakala adik perempuan dan kakak mendiang kini berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh bagi proses bedah siasat.

Dia turut memaklumkan jasad Sivasutan akan dibawa pulang ke rumahnya di sini untuk penghormatan terakhir sebelum dibawa ke tanah perkuburan di Sitiawan untuk dibakar.

Berita berkaitan

TLDM dedah 10 nama mangsa nahas helikopter

'Abang hubungi ibu, ayah sebelum kejadian berlaku'

'Selepas ini mereka mungkin balik awal selalu' - Skuadron 503

Rakan menangis, sedih terima berita nahas helikopter

Anggota TLDM terbabit nahas helikopter beri bayangan Aidilfitri terakhir

Salah seorang mangsa suami sepupu Eyra Hazali

Bedah siasat di HRPB

Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur diaktifkan

TERKINI: Semua mangsa helikopter TLDM terhempas dibawa keluar

Helikopter TLDM terlibat dalam tiga kali raptai sebelum terhempas

Agong zahir takziah

Kementerian Pertahanan pertimbang semula penganjuran Sambutan Ulang Tahun TLDM

TLDM tubuh Lembaga Siasatan

Mangsa nahas helikopter TLDM dikenal pasti

2 helikopter dinaiki 10 kru

10 dilaporkan terkorban

Dua helikopter terhempas selepas berlanggar di udara

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 10:55 PM