FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga emas tergamak melakukan hubungan seks luar tabii dengan seekor kambing betina sehingga haiwan itu mati dalam kejadian di Kampung Sungai Buaya, Serendah dekat sini, semalam.

Kejadian disedari seorang wanita yang juga pemilik kambing terbabit, kira-kira jam 1.30 tengah hari selepas mendengar kambingnya yang berada di belakang rumah mengeluarkan bunyi pelik.

Beliau kemudian keluar untuk memeriksa keadaan haiwan peliharaannya itu dan mendapati seorang lelaki yang dikenalinya bangun daripada sebelah kambingnya dalam keadaan separuh bogel sebelum lelaki itu melarikan diri.

Wanita berusia 45 tahun itu kemudian memeriksa keadaan kambing berkenaan dan didapati haiwan itu sudah mati.

Beliau kemudian membuat satu laporan polis di Balai Polis Serendah, jam 6.24 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, susulan laporan polis diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor berjaya menahan suspek hari ini.

"Suspek berusia 60 tahun itu ditahan di sebuah kawasan semak di Jalan Tengah, Kampung Sungai Buaya, Serendah pada jam 10.50 pagi tadi.

"Semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, suspek akan direman di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan dan Seksyen 289 kanun sama.

"Sepasukan anggota daripada Unit Forensik Polis Selangor dan Jabatan Veterinar Kuala Kubu Bharu turut ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

"Kambing yang mati itu dihantar ke makmal Jabatan Veterinar untuk analisis dan bedah siasat," katanya.

Katanya, Arsad percaya polis berjaya menyelesaikan kes ini sekali gus mengurangkan kegusaran masyarakat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 4:24 PM