KEADAAN lokasi kemalangan tiga kenderaan yang mengorbankan seorang mekanik di Kilometer 434.8 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur masuk tol Sungai Buaya. FOTO Ihsan Polis.
KEADAAN lokasi kemalangan tiga kenderaan yang mengorbankan seorang mekanik di Kilometer 434.8 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur masuk tol Sungai Buaya. FOTO Ihsan Polis.
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Mekanik yang sedang membaiki lori rosak maut dirempuh dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 434.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, berhampiran susur masuk tol Sungai Buaya, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 3.45 petang itu, mangsa berusia 60 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Terdahulu, lori yang dalam perjalanan dari Bukit Beruntung ke Kuala Lumpur mengalami kerosakan iaitu 'long shaft' belakang tertanggal.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, nahas membabitkan lori dua tan, pacuan empat roda Mitsubishi Storm dan lori Roll-On-Roll-Off (Roro).

"Siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan penumpang Mitsubishi Storm sedang membaiki lori Roro yang rosak di lokasi kejadian.

"Tiba-tiba, lori dua tan dipandu lelaki berusia 39 tahun bersama dua kelindan disyaki hilang kawalan, lalu melanggar belakang kenderaan itu yang diletak di belakang lori rosak," katanya dalam kenyataan.

Ahmad Faizal berkata, mangsa yang berada di hadapan kenderaannya dilanggar dan mengalami kecederaan parah di kepala.

"Dia disahkan maut di lokasi kejadian. Manakala pemandu lori dua tan cedera di kepala dan badan, serta dua kelindannya cedera ringan.

"Pemandu lori dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut," katanya yang memberitahu bedah siasat ke atas mangsa dijalankan di Hospital Kuala Kubu Bharu.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 11:45 PM