Seorang bekas jurulatih ragbi Majlis Sukan Negara (MSN) dilaporkan meninggal dunia selepas rebah ketika berjogging di Taman Riadah Dahliasari, Bandar Sungai Buaya, hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Seorang bekas jurulatih ragbi Majlis Sukan Negara (MSN) dilaporkan meninggal dunia selepas rebah ketika berjogging di Taman Riadah Dahliasari, Bandar Sungai Buaya, hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Seorang bekas jurulatih ragbi Majlis Sukan Negara (MSN) dilaporkan meninggal dunia selepas rebah mendadak ketika berjoging di Taman Riadah Dahliasari, Bandar Sungai Buaya, di sini, tadi.

Sebelum kejadian, lelaki warga emas berusia 75 tahun itu dikatakan memulakan senaman bersama komuniti taman seawal jam 7 pagi.

Mangsa kemudian berjalan di atas trek di kawasan kejadian sebelum rebah dan tidak sedarkan diri jam 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pada jam 9 pagi lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh kakitangan hospital yang dipanggil memberi bantuan kecemasan.

"Hasil semakan mendapati mangsa adalah bekas jurulatih ragbi MSN sejak berusia 30 tahun.

"Mangsa mempunyai dua sejarah penyakit iaitu jantung selama dua tahun dan darah tinggi (20 tahun)," katanya ketika dihubungi, semalam.

Ahmad Faizal berkata, siasatan lanjut polis tidak menemui sebarang unsur jenayah pada mangsa.

Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 3:01 PM