MUHAMAD Adlan
MUHAMAD Adlan
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat petunjuk baharu keberadaan Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan melalui transaksi kad kredit milik ahli perniagaan itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, selain itu pihaknya juga mendapatkan kerjasama daripada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

"Ada petunjuk baharu beliau berada di suatu tempat hasil daripada pemantuan kita terhadap penggunaan kad kreditnya. Jadi dia berada di beberapa negara, (dan) kita sudah memohon kepada Interpol bagi tujuan untuk refleks terhadap beliau.

"Tetapi dalam kes beliau, kita masih lagi mengesan dengan cara kita bagi tujuan untuk dituduh di mahkamah.

"Sehingga sekarang tidak ada lagi makluman daripada beliau dan juga seorang peguam yang akan di'sue' (dakwa) bersama beliau," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pejabat SPRM Cawangan Gua Musang di Ibu Pejabat Kesedar, di sini, hari ini.

Justeru, beliau menyeru Muhammad Adlan dan pegumnya untuk tampil bagi menghadapi pertuduhan yang akan dikenakan terhadap mereka.

Terdahulu media melaporkan SPRM mengesahkan beberapa kertas pertuduhan ke atas Muhammad Adlan sudah lengkap termasuk jenayah pecah amanah (CBT).

Bagaimanapun, Muhammad Adlan dan peguamnya menghilangkan diri dan dipercayai sudah meninggalkan Malaysia pada Mei 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 5:11 PM