Mahkamah Persekutuan Putrajaya
Mahkamah Persekutuan Putrajaya
BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini membenarkan rayuan pendakwaan untuk melucut hak RM1,112,700 daripada 79 pelabur skim pengambilan deposit secara haram.

Panel tiga hakim terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim membuat keputusan itu selepas memutuskan bahawa rayuan pendakwaan mempunyai merit.

Tengku Maimum turut mengarahkan wang itu dilucut hak kepada hasil kerajaan.

Mengikut fakta kes, Venus FX adalah sebuah syarikat yang menyediakan platform dagangan yang mengkhusus kepada pertukaran asing dan kesemua responden adalah ahli skim itu.

Representasi telah dibuat iaitu mereka yang mendepositkan antara US$100 dan US$10,000 kepada syarikat berhak mendapat pulangan harian atas pelaburan mereka antara 4 hingga 6 peratus selama 80 hari.

Mereka kemudian akan didaftarkan sebagai ahli dan boleh mengakses laman sesawang syarikat dan ahli Venus FX dibayar komisen bagi setiap ahli baharu yang direkrut di bawah keahlian mereka.

Pada 2016, pihak pengurusan Venus FX menyiarkan pengumuman di laman sesawangnya yang memaklumkan semua ahli agar membayar jumlah pelaburan masing-masing ke akaun bank Yayasan Usaha Ventures Malaysia (YUVM) dan memaklumkan bahawa YUVM adalah sebuah yayasan yang diberi kuasa di bawah tadbir urus Kementerian Kewangan serta merupakan syarikat induk Venus FX.

Susulan pengumuman itu, kesemua 79 pelabur telah mendepositkan wang ke akaun bank YUVM dan pada September 2016, seorang ahli Venus FX yang menghadiri mesyuarat memaklumkan ahli lain bahawa YUVM tidak bersekutu dengan Venus FX dan wang yang diminta dibayar kepada YUVM adalah satu penipuan.

Ahli itu juga memaklumkan mereka bahawa YUVM adalah sebuah pertubuhan dan pengerusinya telah membuat representasi palsu bahawa YUVM dimiliki kerajaan dan bahawa beliau akan mendapatkan lesen perbankan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang akan dipegang oleh YUVM; dan bagi Venus FX menjadi anak syarikatnya untuk beroperasi dan menguruskan lesen perbankan itu dan bagi mendapatkannya, RM50 juta perlu didepositkan dengan YUVM.

Dua pelabur kemudian membuat laporan polis dan siasatan terhadap skim pelaburan Venus FX menunjukkan bahawa mereka telah memulakan dagangan pertukaran asing tanpa lesen daripada Bank Negara Malaysia. Siasatan polis turut mendedahkan bahawa pengerusi dan bendahari YUVM juga terlibat dalam skim pelaburan itu.

Pada 14 Dis 2017, pihak pendakwaan telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi terhadap YUVM bagi melucut hak RM2.2 juta atas alasan wang itu adalah hasil aktiviti yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Satu notis telah diwarta bagi membolehkan pihak ketiga yang mempunyai sebarang kepentingan dalam wang yang disita memfailkan tuntutan dan menunjukkan sebab mengapa ia tidak warjar dilucut hak.

Ini menyebabkan seorang pelabur iaitu R. Sudesh memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah bahawa beliau mewakili 78 pelabur lain dan menuntut agar RM1,112,700 daripada RM2.2 juta yang dirampas, dipulangkan kepada mereka.

Pada 28 Mei 2019, Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang memihak kepada Sudesh dan pelabur lain serta mengarahkan agar RM1,112,700 dipulangkan kepada mereka.

Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 15 Dis 2022.

Timbalan Pendakwa Raya How May Ling, yang dibantu oleh Parvin Hameedah, berhujah bahawa wang yang dirampas daripada akaun bank YUVM adalah hasil daripada aktiviti haram dan oleh yang demikian, wang yang didepositkan oleh pihak ketiga turut dicemari dan responden tidak boleh dianggap sebagai mempunyai kepentingan undang-undang yang sah terhadap wang berkenaan.

Beliau berkata Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah terkhilaf dari segi undang-undang ketika memutuskan bahawa responden telah menjadi mangsa penipuan sedangkan bukti menunjukkan bahawa mereka secara sukarela dan tanpa paksaan daripada sesiapa telah mendepositkan wang ke akaun bank YUVM sebagai pelabur Venus FX serta mengharapkan pulangan atas pelaburan itu.

Peguam Ravi Nekoo, yang mewakili responden, pula berhujah bahawa wang yang berada dalam akaun bank YUVM adalah milik kesemua 79 pelabur dan ia tidak pernah dikeluarkan daripada akaun itu untuk sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Beliau berkata anak guamnya adalah mangsa penipuan dan mereka tidak menerima sebarang hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 9:48 PM