GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Syarifah Dayana Syed Bakri


PENIPUAN melalui telefon dan skim taruhan wang adalah antara kes penipuan tertinggi diterima Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun lalu dengan jumlah kerugian yang dilaporkan sebanyak RM22.3 juta.

Berdasarkan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran BNM 2017, penipuan melalui telefon lazimnya membabitkan orang yang menyamar sebagai pegawai bank atau Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang meminta mangsa memindahkan wang atau berdepan risiko disenarai hitam jika tidak berbuat apa yang disuruh.

“Mangsa dihubungi pada hari tidak bekerja agar panggilan tidak boleh disahkan, dan diperdaya untuk membuka akaun perbankan Internet menggunakan maklumat akaun tertentu bagi memindahkan dana ke dalam akaun penipu,” katanya.

Menurutnya, dalam kes skim taruhan wang pula, penipu selalunya menyamar sebagai syarikat perdagangan mata wang yang menawarkan pulangan bulanan setinggi 20 peratus.

“Pakej pelaburan dengan harga serendah AS$50 ditawarkan untuk menggalakkan pelabur daripada pelbagai kumpulan pendapatan untuk menyertai skim itu.

“Lazimnya, pelabur akan menerima pulangan untuk beberapa bulan sebelum mereka diberitahu bahawa laman sesawang pengendali skim itu telah digodam dan semua wang pelaburan telah lesap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 11:45 PM