GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini hari menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM1 juta kepada bekas pengurus bank, Charles Chua Yi Fuan kerana menipu seorang pelabur untuk melabur di dalam satu skim pelaburan yang tidak wujud dan mengakibat mangsa kerugian RM175,000, lima tahun lalu.

Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman itu terhadap Chua, 45, bekas Naib Presiden Pasaran Hutang Hong Leong Investment Bank Bhd selepas dia mengaku bersalah kepada satu daripada 17 pertuduhan yang dikenakan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hashley Tajudin memberitahu hakim bahawa pihak pendakwaan dan peguam bela Chua bersetuju untuk meminta mahkamah supaya mengambil kira 16 lagi pertuduhan apabila menjatuhkan hukuman.

Hakim berkata beliau mengambil kira 16 lagi pertuduhan yang masih belum selesai menurut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah dalam menjatuhkan hukuman.

Ini bermakna Chua tiada lagi pertuduhan yang belum selesai.

Menurut Seksyen 171A: "apabila dalam mana-mana perbicaraan jenayah yang dikenakan oleh atau bagi pihak Pendakwa Raya, tertuduh didapati salah di atas sesuatu kesalahan, Mahkamah dalam menentukan dan menjatuhkan hukuman, bolehlah dengan persetujuan pendakwa dan tertuduh mempertimbangkan sebarang kesalahan lain yang masih belum selesai yang tertuduh mengaku telah melakukannya."

Dalam kesemua 17 pertuduhan itu, Chua memberitahu mangsa-mangsanya bahawa mereka melabur dalam skim pelaburan membabitkan pembelian saham tetapi skim itu tidak wujud dan mengakibatkan pelabur kerugian RM1.73 juta dari 2017 hingga 2019.

Pada pertuduhan itu, Chua didakwa menggunakan jawatannya sebagai Naib Presiden Pasaran Hutang bank itu untuk memperdaya Lim Boon Bing melaburkan RM175,000 dalam satu pelaburan tawaran awam awal "QSR" dan menjanjikan pulangan pelaburan 8.5 peratus pada bulan pertama dan 10 peratus pada bulan seterusnya untuk Lim.

Dia didakwa menyebabkan Lim mendepositkan RM175,000 ke dalam akaunnya antara 3 April hingga 24 Mei 2018 di Malayan Banking Berhad Graha Peladang, Jalan Hang Tuah, Melaka untuk skim pelaburan tawaran awam awal QSR.

Chua sememangnya pada masa itu tahu bahawa tawaran awam awal QSR adalah palsu dan tidak wujud.

Pertuduhan adalah di bawah Subseksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta bagi setiap pertuduhan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 9:56 PM