KUMAR (tengah) menyaksikan penyerahan tugas antara Ibrahim dengan Kumarasan. FOTO Mary Victoria Dass
KUMAR (tengah) menyaksikan penyerahan tugas antara Ibrahim dengan Kumarasan. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Iskandar Puteri: Polis akan mengemukakan surat kepada Bukit Aman bagi mendapatkan perintah tahan kerja terhadap dua anggota yang terbabit dua kes pemerasan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, beliau mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk menghantar surat cadangan itu hari ini.

Beliau berkata, perintah tahan kerja itu dikenakan terhadap dua anggota polis di BSI sehingga siasatan dilengkapkan dan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

"Bagi tindakan tahan kerja, kita perlu dapatkan arahan daripada Bukit Aman.

"Oleh itu saya bagi arahan kepada JIPS untuk buat surat kepada Bukit Aman bagi mendapatkan perintah terbabit.

"Buat masa ini, kedua-dua anggota polis itu masih dalam tahanan reman bagi melengkapkan siasatan, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik ia dilengkapkan," katanya pada sidang media selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, bekas pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Ibrahim Mat Som menyerahkan tugas Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri kepada Asisten Komisioner M Kumarasan.

Pada 5 April lalu, dua anggota polis yang bertugas di BSI ditahan bagi membantu siasatan kes pemerasan terhadap seorang mangsa dengan meminta bayaran RM2,000 supaya tidak diambil tindakan kerana mempunyai rekod kesalahan lampau.

Kumar dalam pada itu menyeru orang awam segera melaporkan sekiranya terdapat pegawai dan anggota polis yang terbabit elemen rasuah atau pemerasan.

"Polis Johor tidak akan berkompromi berkaitan isu integriti, kita tidak mahu segelintir yang melakukan kesalahan ini mencemar imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Laporkan kepada polis, kita akan jalankan siasatan dan ambil tindakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 2:16 PM