Letusan Gunung Ruang.
Letusan Gunung Ruang.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Biarpun Gunung Ruang di Sulawesi Utara, Indonesia masih meletus semalam, kualiti udara di seluruh negara kekal dalam keadaan baik dan tiada kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, pagi ini.

Berdasarkan kemas kini laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat 9 pagi hari ini, adi, 40 stesen merekodkan IPU tahap sederhana manakala 28 lagi pada tahap baik.

Kawasan yang direkodkan berada tahap sederhana membabitkan Batu Muda dan Cheras, Kuala Lumpur masing-masing mencatatkan 66 dan 79 manakala Putrajaya (63).

Di Selangor, Banting mencatatkan tahap IPU 91 diikuti Klang (78),Johan Setia (75), Petaling Jaya (72), Shah Alam dan Kuala Selangor masing-masing 63 dan 61.

Semua tiga stesen di Negeri Sembilan turut mencatatkan tahap sederhana antara 58 hingga 72 diikuti Melaka 55 hingga 61 dan Bandaraya Melaka tahap baik pada bacaan 50.

Sementara itu, tujuh stesen di Johor merekodkan bacaan antara 51 hingga 73 serta satu stesen di Batu Pahat dilaporkan tahap baik pada bacaan 46.

Di Pahang hanya Temerloh dan Rompin mencatatkan tahap sederhana pada 54 dan 52 manakala tiga lagi stesen iaitu Indera Mahkota Kuantan, Balok Baru Kuantan dan Jerantut masing-masing merekodkan IPU tahap baik iaitu 29, 41 dan 50.

Selain itu hanya Besut, Terengganu mencatatkan tahap sederhana dengan 57 manakala Paka, Kemaman dan Kuala Terengganu merekodkan IPU tahap baik antara 25 hingga 49.

Secara keseluruhannya semua stesen di Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan turut merekodkan bacaan sederhana dan baik pagi ini.

Pada masa sama, hanya Bintulu, Sarawak merekodkan tahap sederhana dengan bacaan 53 manakala 12 lagi stesen dilaporkan berada pada tahap baik antara 16 hingga 49.

Di Sabah pula, empat kawasan mencatatkan tahap sederhana antara 53 hingga 80 manakala Keningau dan Kota Kinabalu masing-masing pada tahap baik dengan 48 dan 40 diikuti Labuan 39.

IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui maklumat IPU semasa.

Letusan Gunung Ruang sejak Rabu lalu, memaksa pihak berkuasa menaikkan langkah berjaga-jaga ke tahap tertinggi dalam sistem empat peringkat selain memindahkan lebih 11,000 penduduk berdekatan termasuk pulau terpencil Tagulandang yang menempatkan kira-kira 20,000 orang.

Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia juga masing-masing membatalkan 19 dan 16 penerbangan yang dijadual berlepas dari atau ke Sabah dan Sarawak dengan Kuala Lumpur susulan letusan letusan gunung itu.

Namun beberapa jam selepas itu, AirAsia kembali mengumumkan pembukaan semula operasi 19 penerbangan membabitkan laluan Bintulu, Kuching, Sibu, Johor Bahru dan Kota Bharu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 10:14 AM