ANTARA kereta yang tenggelam berikutan hujan lebat di Dubai. FOTO Giuseppe CACACE/AFP
ANTARA kereta yang tenggelam berikutan hujan lebat di Dubai. FOTO Giuseppe CACACE/AFP
BERNAMA

Dubai: Penumpang di Lapangan Terbang Dubai turut terkesan dengan banjir terburuk yang melanda bandar itu dalam tempoh 75 tahun apabila sistem pengambilan bagasi juga terjejas.

Menurut laporan media Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilanda hujan lebat sejak lewat Isnin hingga Selasa malam, mengatasi rekod sejak data mula dikumpulkan pada 1949.

Suzaliana Samuri yang berlepas dari Kuala Lumpur dan tiba di Dubai pada 4.30 petang semalam, memberitahu Bernama beliau dan rakan-rakannya pada hari ini masih gagal mendapatkan bagasi mereka.

"Berlaku sedikit kekeliruan dalam maklumat yang diperoleh daripada kakitangan Emirates di sini, ada yang mengatakan mereka akan cuba dapatkan bagasi kami dalam masa kurang sejam dan ada yang meminta kami datang semula nanti," kata Suzaliana yang bertugas sebagai pegawai teknologi maklumat.

Suzaliana berkata selepas menunggu selama dua jam, beliau dan kumpulan itu memutuskan untuk pulang ke hotel terlebih dahulu dan akan datang semula nanti.

Kumpulan itu terdiri daripada pelbagai agensi dan syarikat dari Malaysia untuk menyertai Kaspersky Cyber Immunity Conference 2024 yang diadakan di Museum of the Future, di sini.

Selain kumpulan itu, difahamkan ramai penumpang dari beberapa destinasi turut menghadapi masalah yang sama dan berada di bahagian tuntutan bagasi sejak semalam.

Turut menyertai kumpulan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab yang juga seorang daripada panel jemputan untuk persidangan berkenaan.

Amirudin berkata beliau tetap komited untuk menghadiri persidangan itu dan mengikuti program seperti yang dijadualkan.

"Walaupun terpaksa menghadiri persidangan itu dengan memakai baju sama sejak semalam, saya tetap akan menyertai program ini untuk berkongsi pengalaman dan kemajuan yang dicapai oleh CyberSecurity Malaysia serta mempromosikan adaptive security dan pendekatan reka bentuk yang selamat selaras dengan konsep Kaspersky Cyber Immunity," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 7:23 PM