Siti A'isyah Sukaimi


ORANG ramai diminta tidak panik terhadap serangan siber ransomware wannacry tetapi perlu sentiasa berwaspada menggunakan komputer, Internet dan aplikasinya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, situasi pada masa ini terkawal.

Katanya, pihak kementerian bersama CyberSecurity Malaysia akan terus berusaha memastikan ruang siber negara sentiasa selamat daripada sebarang serangan dan ancaman.

"Semua organisasi di bawah Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) digesa terus memperkukuhkan sistem pertahanan siber bagi melindungi rangkaian komputer masing-masing.

"Organisasi CNII juga diingatkan menaik taraf sistem komputer dengan perisian terkini serta diperkukuhkan keselamatan," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, sehingga semalam, pihaknya menerima dua laporan insiden jangkitan ransomware wannacry membabitkan organisasi swasta dan institusi akademik.

Justeru, katanya, mereka yang menjadi mangsa digesa membuat laporan kepada Pusat Bantuan Cyber999 CyberSecurity Malaysia melalui emel [email protected], [email protected] atau talian 1-300-88-2999 bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan dan memberikan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 6:33 PM