Sylvia  (kanan) memberi penerangan kepada media mengenai isu keselamatan siber semasa Kaspersky Lab APAC Cyber Security Weekend 2017 di Phuket,
Sylvia (kanan) memberi penerangan kepada media mengenai isu keselamatan siber semasa Kaspersky Lab APAC Cyber Security Weekend 2017 di Phuket,
Hafiz Ithnin

Phuket: Kaspersky Lab SEA Sdn Bhd (Kaspersky) berhasrat memuktamadkan kerjasama dengan pelbagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi tempatan untuk memperkenalkan rumusan perlindungan siber bagi telefon pintar seawalnya pada suku pertama tahun depan.

Meskipun kerjasama itu masih belum dimuktamadkan sepenuhnya, syarikat antivirus dan perlindungan siber global itu mendapat reaksi positif daripada hampir semua pemain industri telekomunikasi tempatan untuk menjalankan kerjasama perniagaan.

Pengurus Besar Asia Tenggara Kaspersky Syvia Jye Ng berkata, kerjasama itu antara strategi yang dilaksanakan Kaspersky untuk meningkatkan penggunaan antivirus dalam telefon pintar pengguna di negara ini.

Beliau berkata, kadar penggunaan antivirus pada telefon pintar bukan saja masih rendah di Malaysia, malah di peringkat global, namun trend kesedaran mengenainya meningkat dari tahun ke tahun dalam jumlah kecil.

“Kaspersky sebenarnya sudah memperkenalkan rumusan perlindungan siber khusus untuk telefon pintar sejak 2008 dan kadar pembeliannya masih rendah. Kita dapati kerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi meluaskan edarannya lebih ideal.

“Perkara ini kerana pengguna boleh secara terus melanggan dan membayar menerusi bil dan harga yang ditawarkan juga kemungkinan kurang RM10 iaitu harga mampu milik untuk pengguna di Malaysia.

“Bagaimanapun, harganya masih awal untuk dikongsikan kerana kami belum memuktamadkan perjanjian dengan rakan niaga berkenaan,” katanya kepada Bisnes Metro selepas Persidangan Kaspersky Lab APAC Cyber Security Weekend 2017.

Persidangan itu yang diadakan setiap tahun dianjurkan Kaspersky bagi memberi pendedahkan dan maklumat kepada media Asia Pasifik mengenai rekod, trend dan tinjauan masa depan serangan siber yang berlaku di dunia terutama di rantau berkenaan daripada panel profesional sekuriti siber.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 7:22 AM