BANGUNAN Kementerian Luar Negeri. FOTO Mohd Fadli Hamzah
BANGUNAN Kementerian Luar Negeri. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohamed Farid Noh


Kuala Lumpur: Tiada keperluan untuk pemindahan pulang rakyat Malaysia, termasuk pelajar di rantau Asia Barat, setakat ini.

Kementerian Luar Negeri memaklumkan, sehingga semalam, keadaan di Asia Barat kekal stabil dan dianggap selamat untuk dilawati.

Bagaimanapun, kementerian itu berkata, keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara tetap menjadi keutamaan kerajaan.

"Pada masa ini, tiada keperluan untuk pemindahan pulang rakyat Malaysia, termasuk pelajar negara di rantau berkenaan.

"Namun, bagi memastikan tindakan segera dan berkesan dapat diambil sekiranya menghadapi situasi kecemasan, Kementerian Luar Negeri telah menubuhkan bilik operasi yang memberi tumpuan kepada Iran, Iraq, Jordan dan Lubnan untuk memantau perkembangan di rantau ini dari semasa ke semasa.

"Kementerian menggesa semua rakyat Malaysia yang bermastautin atau melancong ke kawasan Asia Barat untuk tetap berwaspada dan terus mengikuti perkembangan situasi semasa.

"Adalah penting untuk mematuhi peraturan dan panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan di negara-negara terbabit," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kelmarin, tentera udara Israel dilaporkan sudah memuktamadkan persiapan untuk kemungkinan melakukan serangan balas ke atas Iran, menurut media tempatan pada Isnin.

Penyiar awam Israel, KAN, berkata, Tel Aviv juga sedang merancang 'tindak balas terhad' bagi mengelakkan perang habis-habisan antara kedua-dua pihak.

Isnin lalu, Ketua Staf Tentera Israel, Herzi Halevi, dilaporkan berkata, Israel akan bertindak balas terhadap serangan Iran pada hujung minggu.

Iran melancarkan ratusan peluru berpandu dan dron ke atas Israel pada Sabtu sebagai tindak balas terhadap serangan 1 April ke atas Konsulat Iran di Damsyik, Syria, di mana sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh, termasuk tujuh penasihat tentera.

Beberapa peluru berpandu dilaporkan melanda dalam wilayah Israel, satu daripadanya merosakkan kemudahan ketenteraan Israel di selatan negara itu.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri memaklumkan, rakyat Malaysia digalakkan untuk mendaftarkan diri dengan Kedutaan Besar Malaysia di negara yang berdekatan di rantau berkenaan.

Katanya, ia akan memudahkan komunikasi dan bantuan dalam situasi kecemasan.

"Keselamatan rakyat Malaysia di luar negara tetap menjadi keutamaan

Kementerian Luar Negeri, dan kementerian akan memaklumkan perkembangan terkini mengenai situasi di Asia Barat dari semasa ke semasa," katanya kenyataan berkenaan.

Tamat

From: Farid

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 12:05 PM