DR Muhammad Iqbal segak berbaju Melayu berwarna biru semasa di World Congress Of Nephrology di Buenos Aires, Argentina.
DR Muhammad Iqbal segak berbaju Melayu berwarna biru semasa di World Congress Of Nephrology di Buenos Aires, Argentina.
Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Pakar nefrologi Hospital Al-Sultan Abdullah Puncak Alam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) tampil segak berpakaian baju Melayu ketika menyampaikan ceramah di World Congress Of Nephrology di Buenos Aires, Argentina, kelmarin.

Dr Muhammad Iqbal Abdul Hafidz yang berbaju Melayu berwarna biru menarik perhatian kira-kira 4,000 peserta dari 130 negara mengenai topik pemindahan buah pinggang di Malaysia.

Menurutnya, ia adalah kali kedua beliau berbaju Melayu selepas kali pertama memakainya semasa menghadiri kongres di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada awal tahun ini.

"Saya memakai baju Melayu ini disebabkan saya lihat semasa di kongres antarabangsa, bangsa lain juga memakai baju tradisional mereka sendiri. Contohnya orang Arab memakai jubah, orang Afrika memakai pakaian tradisional dan orang India juga memakai sari mereka.

"Jadi, kenapa kita tidak melakukan perkara seumpama seperti memakai baju Melayu? Orang Malaysia baju batik pun mereka tak pakai.

"Sejak daripada itu, saya mengambil keputusan apabila diberi peluang untuk memberikan ceramah di luar negara dengan memakai baju Melayu," katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Dr Muhammad Iqbal berkata, perkara ini juga antara usahanya untuk memperkenalkan pakaian tradisional Malaysia di mata dunia.

Menurutnya, selepas dua kali memakai baju Melayu, penerimaan masyarakat atau peserta luar negara sangat baik.

"Mereka memang suka sangat dan selalu minta untuk bergambar dengan saya. Mereka suka tengok betapa kemasnya songkok, samping dan baju Melayu. Amat unik dan saya akan pakai walaupun cuaca sejuk," katanya.

Katanya, tujuan lain dia memakai baju Melayu untuk menarik perhatian rakyat negara ini bagi meningkatkan kesedaran tentang pemindahan organ dan buah pinggang.

"Ia untuk memberi kesedaran. Orang kita kalau saya membuat hantaran di Facebook, mereka teruja tengok saya pakai baju Melayu.

"Mereka juga bangga. Ini satu taktik untuk meningkatkan kesedaran terhadap pendermaan organ," katanya.

Sementara itu, Dr Muhammad Iqbal berkata, beliau dijemput ke kongres terbabit untuk menerangkan pengalamannya dan kes pemindahan organ di Malaysia.

"Saya menjadikan misi saya untuk meningkatkan kadar pemindahan buah pinggang di negara kita kerana Malaysia mempunyai kadar pemindahan buah pinggang antara yang terendah di dunia.

"Ini kerana kurangnya pemahaman dan pendedahan terhadap isu yang amat kompleks ini.

"Selain itu, wujud salah persepsi dari sudut agama dalam isu pemindahan buah pinggang walaupun terdapat fatwa sejak 1970 yang membenarkan pendermaan dan pemindahan organ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 7:03 AM