Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya 18,493 individu yang mengalami kegagalan buah pinggang, hati, jantung dan paru-paru kini menunggu untuk mendapatkan pemindahan organ.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata jumlah besar itu berkait rapat dengan kadar rakyat Malaysia yang berdaftar sebagai penderma organ iaitu kurang satu peratus daripada setiap sejuta penduduk.

"Kadar pendermaan organ di Malaysia hanya sekitar 0.8 penderma bagi setiap juta penduduk dan merupakan antara yang terendah di dunia.

"Walaupun ada peningkatan berbanding tahun sebelumnya, ia masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan pesakit yang sedang menunggu," katanya ketika berucap merasmikan Kempen Jalanan #DermaOrgan, di sini.

Dr Subramaniam berkata, kesemua pesakit itu kini bergantung harap kepada rakyat Malaysia yang prihatin dan bersedia untuk membantu menyelamatkan nyawa mereka melalui pendermaan organ.

Menurut statistik Kementerian Kesihatan, 266,583 rakyat Malaysia berikrar sehingga 30 September untuk menderma organ selepas kematian - 0.9 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini.

Daripada keseluruhan pesakit menunggu pemindahan organ, 18,418 memerlukan buah pinggang, hati (12), paru-paru (enam) dan jantung (lima). Tiga orang lagi memerlukan jantung dan paru-paru.

Sebanyak 55 pembedahan transplan organ dilalukan bagi tempoh Januari hingga 30 Sept 2014.

Dr Subramaniam berkata, kesedaran rakyat Malaysia berkaitan pendermaan organ kini semakin meningkat terutama dalam kalangan belia.

Selain itu, katanya, kementerian sedang membangunkan sebuah sistem pendaftaran secara online bagi memudahkan rujukan maklumat semua pendaftar organ di seluruh negara. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 2:36 AM