PEGAWAI CPF KKM melakukan rampasan terhadap produk rangsangan seks susulan serbuan di beberapa premis dan kediaman di ibu kota.
PEGAWAI CPF KKM melakukan rampasan terhadap produk rangsangan seks susulan serbuan di beberapa premis dan kediaman di ibu kota.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Kaya dengan hanya menjual gula-gula perangsang seks dan kopi 'kuat' mengandungi racun melalui portal beli belah dalam talian terkenal.

Itu tindakan beberapa individu yang dikesan aktif memasarkan produk haram dan berbahaya itu kepada orang ramai menggunakan pelbagai fakta dan testimoni palsu.

Terbaru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berjaya merampas produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan KKM serta makanan yang disyaki dicampur palsu dengan racun berjadual.

Pengarah Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Param Jeeth Singh Pakar Singh berkata, produk yang dirampas adalah dalam bentuk gula-gula dan minuman yang disyaki mengandungi racun perangsang seks seperti sildenafil dan tadalafil.

Menurutnya, serbuan membabitkan seramai 26 pegawai farmasi CPF Kuala Lumpur dan Putrajaya yang melakukan pemeriksaan terhadap dua premis kediaman dan tiga premis perniagaan sekitar ibu kota pada Selasa lalu," katanya.

"Melalui serbuan dilakukan itu, pihak kami menahan tiga individu yang disyaki terbabit dalam penjualan pil dan kopi rangsangan seks haram.

"Suspek dikesan menggunakan portal beli belah dalam talian terkenal untuk memasarkan pelbagai produk haram itu kepada pengguna," katanya.

Menurutnya, suspek dipercayai memperolehi keuntungan besar setiap bulan hasil keuntungan jualan produk mencecah ratusan ringgit setiap satu.

"Hasil serbuan itu, kami merampas produk tidak berdaftar yang disyaki mengandungi racun antaranya Candy B, Catuaba, Hammer Ginseng & Coffee, Xtreme Candy, Soloco, Vimax, Maxman Creme dan AK-11 Phenomenal King.

"Semua produk maut dirampas itu dianggarkan bernilai RM 533,974. Perbuatan memiliki atau menjual produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan KKM adalah pelanggaran mengikut Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Penjualan racun berjadual tanpa lesen yang sah boleh disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Racun 1952 dan jika didapati bersalah boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) Akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM 3,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

ANTARA produk rangsangan seks haram yang dirampas.
ANTARA produk rangsangan seks haram yang dirampas.

Menurutnya, kimia sildenafil dan tadalafil adalah ubat terkawal yang digunakan dalam merawat pesakit yang mengalami masalah Erectile Dysfunction (mati pucuk).

"Penyalahgunaan ubat terkawal ini tanpa pengawasan boleh menyebabkan komplikasi pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat yang berbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

"KKM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membeli apa-apa produk kesihatan yang dijual serta memastikan produk-produk kesihatan yang dibeli di pasaran mematuhi keperluan undang-undang yang dikuatkuasakan. Orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk dengan melayari www.npra.moh.gov.my / ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.

"Selain itu, orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi menyemak status pendaftaran produk itu," katanya.

Harian Metro Ahad lalu mendedah kes kematian mengejut membabitkan beberapa individu sebelum ini akibat pengambilan produk rangsangan seks haram diimport dari luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 5:36 PM