KAKITANGAN Luas meneruskan pemantauan penemuan kesan minyak diesel di muka sauk LRA Cheras. FOTO Ihsan Facebook LUAS
KAKITANGAN Luas meneruskan pemantauan penemuan kesan minyak diesel di muka sauk LRA Cheras. FOTO Ihsan Facebook LUAS
Amirul Aiman Hamsuddin


Shah Alam: Kerja pembersihan susulan penemuan kesan minyak diesel di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Cheras, Batu 11 sudah mencapai tahap 70 peratus.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berkata, pihaknya menjangkakan kerja itu akan selesai sekitar 9 malam ini.

"LUAS di tapak sedang memantau rapi sehingga selesai keseluruhannya dan tiada risiko atau potensi pencemaran," katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, pemantauan statik di Sungai Langat sehingga jam 6.30 petang tadi mendapati aliran sungai adalah baik dan tiada bau serta kesan minyak ditemui.

Terdahulu, agensi itu mengesahkan berlaku penemuan kesan minyak diesel di muka sauk LRA terbabit, jam 9.30 pagi.

Siasatan mendapati ia berpunca daripada kawasan perindustrian berdekatan berdasarkan bau sehingga dua ton yang dikesan di pembetung terlibat sebelum memasuki Sungai Langat.

Luas kemudian melaksanakan tindakan pencegahan dengan meletakkan satu beg activated carbon (AC) dan 12 oil pad di dalam pembetung tersebut bagi memerangkap dan menghalang aliran kesan minyak dari mengalir.

Pada masa sama, siasatan lanjut menemukan tapak bekas cucian diesel di hadapan premis kosong di kawasan terlibat, disyaki aktiviti pencucian kenderaan dan pelepasan bahan diesel di pembetung berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 10:46 PM