Pihak LUAS memeriksa sample air Sungai Langat yang didakwa terdapat insiden pembuangan minyak hitam. FOTO IHSAN LUAS
Pihak LUAS memeriksa sample air Sungai Langat yang didakwa terdapat insiden pembuangan minyak hitam. FOTO IHSAN LUAS
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengesahkan tiada insiden pembuangan sisa minyak hitam di Sungai Langat sebagaimana laporan yang diterima petang semalam.

Luas dalam kenyataan berkata, sebaik menerima maklumat berhubung insiden itu, pihaknya segera menjalankan siasatan dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Menurutnya, siasatan mendapati, jarak lokasi insiden itu ke muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Batu 11, Cheras adalah dua kilometer.

"Siasatan Luas ke lokasi pertama (500 meter) dari muka sauk mendapati tiada sebarang kesan minyak atau bau yang abnormal ditemukan.

"LUAS meneruskan siasatan sehingga ke hulu Sungai Langat, bagaimanapun tiada kesan minyak dan bau abnormal dikesan.

"Siasatan bersama Air Selangor ke LRA Batu 11, Cheras juga mendapati tiada bau abnormal dikesan di muka sauk berkenaan. Insiden berkenaan tidak memberi kesan signifikan kepada operasi LRA," demikian kenyataan Luas menerusi Facebook rasminya, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 9:06 AM