ZAIRIL Anuar Zulmuji (dua dari kanan) melakhkan pelancaran Ops Prihatin sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pejabat APM Kota Setar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ZAIRIL Anuar Zulmuji (dua dari kanan) melakhkan pelancaran Ops Prihatin sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pejabat APM Kota Setar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah menempatkan seramai 60 anggota bagi menjalankan penugasan Ops Prihatin sempena Aidilfitri ini.

Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji berkata, penugasan Ops Prihatin ini bermula semalam sehingga 14 April ini membabitkan dua fasa bagi persediaan menghadapi sebarang kes kecemasan ketika sambutan Aidilfitri.

Beliau berkata, fasa satu bermula pada 5 April hingga 9 April ini manakala fasa kedua bermula pada 12 April hingga 14 April.

Katanya, dalam penugasan Ops Prihatin ini, anggota ditugaskan melakukan aktiviti rondaan dan membantu pengguna jalan raya yang berada dalam kecemasan termasuk kenderaan terbabit kemalangan atau kerosakan.

"Selain itu, lokasi rondaan turut membabitkan jalan utama negeri dan persekutuan terutama kawasan tumpuan serta hentian rehat.

"Sepanjang Ops Prihatin ini, 60 anggota APM Kedah daripada 12 daerah sentiasa bersiap siaga dengan apa juga kes kecemasan.

"Mereka bertugas 24 jam membabitkan tiga syif penugasan," katanya pada sidang media di Pejabat APM Kota Setar, hari ini.

Zairil Anuar berkata, APM Kedah juga menasihatkan orang ramai yang pulang berhari raya supaya merancang perjalanan mereka dengan baik bagi mengelak terperangkap dalam lonjakan trafik pada waktu puncak.

Beliau berkata, selain itu APM juga sentiasa bersiap siaga menghadapi kemungkinan bencana alam ketika musim perayaan ini.

"Anggota juga akan membantu orang ramai yang mengalami masalah kesihatan dan terdedah pada cuaca panas yang boleh mengundang strok haba dengan memberi bantuan awal kecemasan.

"Rondaan yang anggota kami lakukan menggunakan kenderaan termasuk motosikal, ambulans APM dan kenderaan pacuan empat roda.

"Bantuan kecemasan akan diberikan kepada pengguna jalan raya yang mengalami kerosakan kenderaan seperti tayar pancit, belting putus, jumper kereta dan lain-lain lagi," katanya.

Dalam pada itu, Zairil Anuar berkata, pihaknya juga bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya kejadian ribut dan angin kencang pada Aidilfitri ini berikutan fasa peralihan monsun.

Beliau berkata, ini berikutan pengumuman Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan berlakunya fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 29 Mac dan berterusan sehingga Mei ini.

"Sepanjang tempoh itu, kami menerima dua kes kejadian ribut iaitu di bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di Baling yang membabitkan 200 khemah rosak pada 31 Mac lalu.

"Selain itu, kejadian angin kencang juga turut berlaku membabitkan 20 rumah di Taman Nusantara di daerah Yan pada 4 April lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 2:01 PM