SAZALLY (dua kanan) menyampaikan replika kunci Proton X70 kepada Razaruddin di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam, sebagai simbolik penyerahan tiga unit kenderaan itu kepada PDRM bagi mempertingkatkan tahap pemantauan trafik dan keselamatan pengguna di lebuh raya di bawah kendalian Kumpulan ALR di Lembah Klang. FOTO ihsan ALR
SAZALLY (dua kanan) menyampaikan replika kunci Proton X70 kepada Razaruddin di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam, sebagai simbolik penyerahan tiga unit kenderaan itu kepada PDRM bagi mempertingkatkan tahap pemantauan trafik dan keselamatan pengguna di lebuh raya di bawah kendalian Kumpulan ALR di Lembah Klang. FOTO ihsan ALR
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kumpulan Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) menyumbangkan tiga unit kenderaan rondaan jenis Proton X70 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mempertingkatkan tahap pemantauan trafik dan keselamatan pengguna di lebuh raya di bawah kendalian Kumpulan ALR di Lembah Klang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ALR, Sazally Saidi menyampaikan kenderaan itu kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, semalam.

Kenderaan rondaan baru itu bakal membantu Unit Expressway Mobile Police Vehicle (EMPV) di bawah seliaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT) PDRM untuk mengadakan rondaan lebih efisien di lebuh raya bagi memastikan perjalanan pengguna lebih selamat dan selesa.

Sazally dalam kenyataan berkata, pasukan EMPV di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (Sprint), Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya Shah Alam (Kesas) kini mengawal selia anggaran sejumlah sejuta pengguna trafik harian bertol serta hampir sejumlah 3.5 juta pengguna trafik di kawasan tidak bertol.

Selain itu, Kumpulan ALR juga berperanan sebagai 'penjaga' Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART).

"Oleh yang demikian, keberkesanan aspek penguatkuasaan dan kawalan lalu-lintas menuntut kerjasama yang erat di antara Kumpulan ALR dan pihak PDRM," katanya.

Beliau berkata, sumbangan kenderaan peronda itu adalah selaras dengan sokongan berterusan Kumpulan ALR untuk inisiatif keselamatan jalan raya dilaksanakan PDRM.

Di samping itu, katanya, ia juga untuk mengiktiraf kerjasama sekian lama antara kedua-dua pihak.

"Antara 1996 dan 2024, sejumlah 40 kenderaan dengan jumlah nilai RM3.12 juta disumbangkan oleh konsesi lebuh raya di bawah kendalian Kumpulan ALR kepada PDRM.

"Kumpulan ALR merakamkan penghargaan ikhlas atas sokongan PDRM selama ini. Kami mengulangi komitmen ALR untuk menyediakan perjalanan yang selamat dan menyenangkan untuk semua pengguna lebuh raya, kita bersama-sama dengan PDRM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 1:27 PM